SHAH ALAM, 21 JULAI: Pusat beli-belah 1 Utama merekodkan peningkatan jumlah pengunjung sejak perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam mula beroperasi bulan lalu.
Pengurusannya memaklumkan aliran pengunjung meningkat, khususnya pada hujung minggu, susulan pembukaan laluan baharu itu yang menghubungkan Stesen Bandar Utama secara terus ke pusat beli-belah berkenaan.
"Ketika ini, kami masih belum dapat mengesahkan sebarang data atau maklumat khusus berhubung perkara itu.
"Bagaimanapun, kami percaya peningkatan jumlah pengunjung ini berpotensi memberi impak positif kepada penyewa.
"Sambungan terus LRT3 menjadikan pusat beli-belah ini lebih mudah diakses oleh pengunjung dari pelbagai kawasan di Selangor, termasuk Klang yang kini hanya mengambil masa kira-kira sejam untuk ke Bandar Utama," katanya dalam kenyataan kepada Media Selangor.
LRT3 Laluan Shah Alam yang mula beroperasi pada 29 Jun lalu menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya dengan Johan Setia di Klang, sekali gus meningkatkan jaringan pengangkutan awam di bahagian barat Selangor serta memudahkan akses ke kawasan perumahan, komersial dan perindustrian utama.
Sambungan itu juga merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam selain mengurangkan kesesakan jalan raya.
Bagi menggalakkan lebih ramai pengguna LRT3 mengunjungi pusat beli-belah itu, 1 Utama menawarkan keahlian ONECARD pada kadar diskaun kepada penumpang yang tiba menggunakan perkhidmatan rel berkenaan, selain baucar membeli-belah tambahan sehingga 31 Julai.
Pengurusannya menjangkakan jumlah pengunjung akan terus meningkat apabila lebih ramai pengguna semakin membiasakan diri dengan perkhidmatan LRT3.
"Kami juga sedang merancang beberapa kempen promosi akan datang yang memberi manfaat kepada semua pengunjung, termasuk mereka yang menggunakan LRT3," katanya.








