SHAH ALAM, 22 JULAI: Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.7 yang berlaku di Utara Sumatera pada jam 12.18 tengah hari tadi turut dirasai di beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan gempa itu dikesan pada koordinat 4.2 darjah Utara dan 97.6 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer.
Menurut kenyataan itu, pusat gempa terletak kira-kira 55 kilometer barat daya dari Langsa, Indonesia.
“Gempa berkenaan dikesan pada koordinat 4.2 darjah Utara dan 97.6 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer, jarak 55 kilometer barat daya dari Langsa, Indonesia,” menurut METMalaysia.
METMalaysia turut meminta orang ramai yang merasai gegaran supaya mengisi borang soal selidik menerusi pautan https://forms.gle/3BiFefhGT4yysDiC9.
Beberapa warganet melaporkan gegaran turut dirasai di Petaling Jaya, Kajang, Puchong, Klang dan Selayang.
Kejadian itu merupakan antara beberapa siri gempa bumi di Sumatera Utara yang memberi kesan gegaran kepada kawasan di Semenanjung Malaysia, lapor Berita Harian.
Pada Mac lalu, gempa bumi bermagnitud 6.5 di pesisir barat Sumatera Utara turut menyebabkan gegaran di Semenanjung Malaysia dan kawasan sekitarnya tanpa ancaman tsunami.
Sebelum itu, pada Februari 2022, penghuni beberapa bangunan tinggi di Lembah Klang dan Melaka dipindahkan selepas merasai gegaran susulan gempa bumi bermagnitud 6.1 di Sumatera Utara.
Setakat ini, tiada ancaman tsunami dilaporkan susulan kejadian gempa bumi berkenaan.







