Dalam landskap sosiopolitik kontemporari yang kian melangkah ke fasa pasca-normal, manipulasi emosi massa sering kali diterjemahkan sebagai instrumen paling ampuh untuk meraih political expediency atau kepentingan politik jangka pendek.
Fenomena ini melahirkan apa yang dikenali sebagai normalisasi sentimen iaitu proses sistematik yang menukarkan ketakutan, kegelisahan kolektif dan prejudis perkauman menjadi sesuatu yang biasa, diterima umum dan dianggap sebagai norma harian dalam wacana awam.
Proses penyebaran dan pengesahan naratif ketakutan ini menjadi jauh lebih agresif melalui pengenalan paradigma "politik platform" (platform politics) di ruang siber. Media sosial hari ini bukan lagi sekadar medium perantaraan maklumat yang pasif, sebaliknya bertindak sebagai ejen aktif yang menstrukturkan semula wacana politik tanah air secara total.

Melalui pengoptimuman algoritma yang memihak kepada kandungan berbentuk sensasi, kemarahan dan provokasi, politik platform secara sengaja mewujudkan "ruang gema" (echo chambers) dan polarisasi melampau yang sukar dibendung.
Maka di atas platform seperti TikTok, Facebook dan X, dakyah berbentuk video pendek, hantaran tular dan infografik luar konteks digunakan untuk memanipulasi emosi serta menyemarakkan ketakutan organik masyarakat Melayu secara massa.
Kebergantungan aktor politik kepada metrik populariti digital seperti jumlah tontonan, tanda suka, dan perkongsian telah mendemokratisasikan penyebaran maklumat palsu.

Natijahnya, naratif ancaman kaum dipakejkan semula sebagai kandungan digital harian yang akhirnya menormalisasikan retorik perpecahan sebagai sebahagian daripada budaya politik moden.
Olehj itu normalisasi naratif kehilangan kuasa Melayu di dalam ekosistem digital ini adalah sebuah mitos yang tidak bersandarkan realiti struktur.
Kuasa dan hak keistimewaan orang Melayu di Malaysia tidak bersifat terapung atau bergantung sepenuhnya kepada algoritma media sosial mahupun turun naik keputusan pilihan raya kepartian.
Sebaliknya, ia telah dipasak kukuh dalam institusi kekal yang merentasi dinamika politik sivil dan kepartian. Keberadaan institusi Majlis Raja-Raja bertindak sebagai benteng terakhir dan pemelihara mutlak kepada kontrak sosial, kedudukan agama Islam (Artikel 3), dan hak keistimewaan Melayu serta Bumiputera (Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan).
Sebarang pindaan substantif terhadap perkara-perkara ini memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja, menjadikannya mustahil untuk dihapuskan secara sewenang-wenangnya oleh mana-mana gabungan politik.
Kegagalan memisahkan antara konsep kehilangan kuasa parti politik tertentu dengan kehilangan kuasa bangsa merupakan kekhilafan analitikal yang sengaja dipelihara oleh sesetengah pihak demi motif kelangsungan politik platform.

Apabila landskap global dicirikan oleh zaman pasca-normal yang penuh dengan ketidaktentuan ekonomi, perubahan teknologi disruptif dan percanggahan nilai, tindakan menormalisasikan momokan tradisi di media sosial merupakan satu ketidakcekapan yang serius.
Kegagalan terbesar politik sentimen ini adalah kewujudan kos melepas (opportunity cost) yang tinggi terhadap pembangunan masa depan bangsa itu sendiri.
Justeru wacana awam di dalam ekosistem politik platform dimonopoli oleh emosi kepungan yang ekstrem, pasaran idea menjadi lumpuh dan tidak produktif. Tenaga intelektual masyarakat habis terbuang dalam perang siber untuk mempertahankan benteng khayalan, berbanding mendepani cabaran realiti seperti sekuriti ekonomi pekerja sektor gig, tekanan inflasi rantaian bekalan global, jurang pendapatan intra-kaum dan persediaan modal insan mendepani era Kecerdasan Buatan (AI).
Melalui lensa pasca-normal, instrumen perlindungan terbaik untuk orang Melayu bukanlah retorik kaum yang defensif dalam bentuk kandungan tular, melainkan ketahanan ekonomi, penguasaan teknologi tinggi, dan pemantapan tadbir urus yang berintegriti.
Impak normalisasi naratif ketakutan di platform media sosial ini juga tidak hanya terkurung dalam radius psikologi masyarakat Melayu semata-mata, malah mencetuskan kesan limpahan terhadap komuniti bukan Melayu, terutamanya kelompok pengundi yang menyokong parti seperti Democratic Action Party (DAP).
Ketakutan yang dimanipulasi oleh satu pihak di ruang digital secara automatik melahirkan tindak balas pertahanan di pihak yang lain, sekali gus mengurung pengguna media sosial daripada pelbagai latar belakang ke dalam kitaran polarisasi yang membimbangkan.

Bagi masyarakat bukan Melayu, pengulangan dakyah radikal di media sosial seperti ‘Asal Bukan DAP’ ini sering ditafsirkan sebagai isyarat eksklusi sosial yang membayangi komitmen terhadap prinsip kewarganegaraan inklusif.
Apabila parti seperti DAP kerap dijadikan sasaran momokan oleh kelompok populis sayap kanan melalui manipulasi video dan hantaran siber, ia mewujudkan keresahan sistemik berkenaan hak asasi, kebebasan beragama, dan masa depan ekonomi bukan bumiputera di bawah acuan perlembagaan.
Namun, di sinilah letaknya paradoks dan keunikan formula Kerajaan Perpaduan hari ini bagi mendepani cabaran politik platform tersebut. Sebagai sebuah kerajaan campuran yang inklusif, keberadaan parti komponen seperti DAP dan UMNO di bawah satu bumbung pentadbiran menawarkan mekanisme semak dan imbang yang paling stabil untuk fasa pasca-normal.
Pertembungan ideologi lama yang sering dieksploitasi di media sosial digantikan dengan pragmatisme pentadbiran, di mana DAP sebagai wakil suara majoriti bukan Melayu dan UMNO sebagai benteng aspirasi tradisi Melayu terpaksa membina konsensus dalam setiap penggubalan dasar.
Formula ini secara tidak langsung meredakan suhu politik perkauman ekstrem di alam maya dan membuktikan bahawa pemeliharaan hak Bumiputera boleh berjalan seiring dengan jaminan keadilan serta kebajikan masyarakat bukan Melayu.
Kerjasama ini memaksa fokus Kabinet dialihkan kepada isu-isu substantif yang melangkaui batas keghairahan politik platform, seperti kestabilan makroekonomi dan reformasi institusi.

Sebagai kesimpulan, tindakan mana-mana fraksi politik yang masih cuba memanipulasi emosi dan mengugut kewujudan kuasa Melayu melalui taktik politik platform bukan sahaja bersifat anakronistik, malah merupakan satu sabotaj terhadap kestabilan sosial yang sedang dibina.
Sebuah bangsa yang besar tidak dibina di atas tapak ketakutan algoritma, tetapi di atas asas keyakinan diri dan kestabilan acuan bersama. Maruah sesuatu bangsa tidak lagi diukur daripada jumlah tontonan atau sokongan siber yang dijana melalui naratif kebencian terhadap bangsa lain, tetapi diukur melalui integriti, tadbir urus yang bersih, dan pencapaian inteleknya.
Sudah tiba masanya wacana politik Malaysia di media sosial beralih daripada hegemoni defensif yang merasa sentiasa terancam, kepada kepimpinan konstruktif yang memimpin dengan keupayaan, kebijaksanaan, dan keadilan global demi masa depan generasi pasca-normal yang harmoni.
*Ismail Hashim Yahaya adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa dan mengulas isu semasa daripada perspektif semiotik dan naratif.







