Tampil segak bertanjak, jadi penyeri di hari lebaran

23 Mac 2026, 1:00 AM
Tampil segak bertanjak, jadi penyeri di hari lebaran
Tampil segak bertanjak, jadi penyeri di hari lebaran
Tampil segak bertanjak, jadi penyeri di hari lebaran

Dalam dekad mutakhir ini, pemakaian tanjak dalam kalangan generasi muda semasa sambutan Aidilfitri kian popular. Bukan hanya dipakai dalam majlis perkahwinan atau upacara tertentu.

Meski songkok lebih luas penggunaannya semasa perayaan, minat terhadap tanjak tumbuh dengan pesat. Apatah lagi, ia sinonim dengan masyarakat Melayu zaman dahulukala.

Tanjak bukan sekadar hiasan kepala, sebaliknya identiti dan warisan budaya Melayu yang perlu dipelihara supaya tradisi pemakaian itu tidak pupus ditelan kemodenan zaman.

Mohd Sallehin Hussain, 46, memegang teguh prinsip tersebut. Justeru, bekas jurukamera itu giat menggubah tanjak hampir dekad lalu.

Dari keinginan untuk melihat masyarakat Melayu kembali menghargai pemakaian tradisional yang semakin dilupakan, beliau menjadikan tanjak sebagai sumber pendapatan sampingan.

“Perlu ada minat. Kalau tiada, memang sudah lama (perniagaan) bungkus. Secara peribadi, saya memang amat meminati busana Melayu dan tanjak,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau juga mahu tanjak menepati falsafah busana tradisi Melayu. Justeru, beliau mempelajari seni gubahan daripada pengajar warisan Alam Melayu tersohor, Dr Johan Iskandar.

“Sebagai Melayu, saya selalu pelik, mengapa pengetahuan kita mengenai pakaian tradisional tiada sedangkan pakaian ini dahulu digunakan oleh orang bergelar,” katanya.

Bagi anak kelahiran Kuala Lumpur itu, seni menggubah tanjak bukan sekadar melipat kain, sebaliknya ada struktur dan falsafah tersendiri yang perlu difahami.

Mohd Sallehin juga mahir menggubah pelbagai jenis simpulan tanjak - Gumpal Garam, Ketupat Palas, Simpul Kasih dan Burasak - setiap satu memiliki identiti tersendiri.

Menurut pemilik jenama Tanjak Fansuri itu, gubahan yang menjadi pilihan pelanggan antaranya tanjak Mahkota Alam yang dianggap tanjak warisan yang mudah dijaga berbanding jenis lain.

Bapa kepada enam cahaya mata menggunakan pelbagai jenis kain bagi menghasilkan tanjak yang unik dan menarik, termasuk kain kapas, songket dan batik.

“Saya selalu guna kain songket bunga tabur dan kain kapas Jepun. Kain tersebut saya beli dari Thailand, Indonesia dan Vietnam untuk menampilkan kelainan pada tanjak (gubahan) saya.

“Namun kebanyakan pelanggan selalu memilih warna hitam. Bagi yang baharu berjinak-jinak memakai tanjak, biasanya saya cadangkan warna hitam kerana lebih mudah dipadankan,” katanya.

Menjelang Aidilfitri, tempahan biasanya meningkat. Beliau menggubah tiga tanjak setiap hari, kira-kira 90 buah disiapkan menjelang perayaan. Dia juga menitik berat kualiti tanjak dan tidak mengejar angka jualan.

“Yang penting, pembeli dapat jaminan baik pulih tanjak secara percuma walaupun selepas beberapa tahun pembelian tersebut,” katanya.

Tanjak Fansuri dijual pada harga antara RM70 hingga RM200, bergantung kepada jenis simpulan dan kain.

Mohd Sallehin juga mengambi berat soal adab dan pantang larang tradisi warisan Melayu.

Beliau memastikan dirinya dalam keadaan bersih dan berwuduk, berpakaian sopan dan tidak memijak kain tanjak sepanjang proses gubahan.

Tidak lupa, pantang larang dititip dalam pemakaian tanjak. Orang kebanyakan tidak boleh memakai gubahan sama yang digayakan kerabat diraja. Bahkan, ia kesalahan di sisi undang-undang.

Beliau menaruh harapan agar usaha itu sedikit sebanyak membantu memperkenal semula keindahan warisan busana Melayu agar terus dihargai generasi akan datang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.