Sejarah sesebuah bangsa tidak semestinya hanya menarik untuk diterokai oleh mereka yang lahir daripada bangsa itu sendiri.
Bagi Viknes Perrabu, kisah kepahlawanan Melayu, seni silat dan warisan keris mempunyai nilai yang jauh melangkaui batas kaum kerana semuanya menjadi sebahagian daripada sejarah tanah air yang dikongsi bersama.
Minat pengarah berusia 38 tahun itu terhadap sejarah sebenarnya berputik sejak di bangku sekolah. Sejarah menjadi antara mata pelajaran kegemarannya dan kecenderungan tersebut terus dibawa apabila dia menceburi dunia perfileman.
Walaupun lebih 15 tahun berkecimpung sebagai pengarah filem Tamil, anak kelahiran Kedah itu tidak pernah melihat latar belakang kaum sebagai penghalang untuk meneroka sejarah dan kebudayaan masyarakat lain.
“Saya memang meminati sejarah sejak di bangku sekolah. Sejarah merupakan antara subjek kegemaran saya dan minat itu turut diterapkan dalam beberapa filem Tamil yang pernah saya arahkan.
“Jadi, apabila mendapat peluang menghasilkan filem berbahasa Melayu, saya mahu membawa cerita yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut memperkenalkan sejarah dan warisan tempatan kepada masyarakat,” katanya kepada Media Selangor.
Bagi Viknes, mengenali kebudayaan masyarakat lain sebenarnya membuka ruang untuk rakyat memahami antara satu sama lain.
Sejarah dan warisan negara juga tidak seharusnya dilihat sebagai milik eksklusif sesuatu kaum kerana generasi hari ini membesar dan berkongsi tanah air yang sama.
Pandangan itu mendorongnya menghasilkan karya yang mampu menemukan masyarakat berbeza latar belakang melalui satu titik persamaan iaitu sejarah Malaysia.
Malah, lelaki itu percaya industri kreatif mempunyai ruang besar untuk memainkan peranan tersebut kerana filem mampu membawa penonton mendekati budaya yang mungkin sebelum ini asing bagi mereka.
Atas dasar itu, Viknes memilih sejarah dan warisan Melayu apabila mendapat peluang mengarahkan filem Melayu pertamanya selepas lebih sedekad menghasilkan karya Tamil.

Dari silambam kepada silat
Idea asal filem The Keris sebenarnya bermula dengan perancangan menghasilkan karya berteraskan silambam, seni mempertahankan diri tradisional India.
Namun selepas berbincang dengan penerbit, mereka memilih untuk meneroka silat yang mempunyai hubungan rapat dengan sejarah dan kebudayaan Melayu.
“Silat juga mempunyai warisan sejarah yang begitu kaya. Dari situ, muncul idea untuk menjadikan Hang Tuah sebagai watak utama dalam penceritaan,” katanya.
Keris kemudian menjadi antara elemen penting dalam karya berkenaan bersama seni silat dan kisah tokoh legenda Melaka itu.
Bagi Viknes, keberaniannya meneroka budaya Melayu turut datang bersama tanggungjawab memastikan perkara yang dipaparkan tidak dilakukan secara sambil lewa.
Pengalaman pertama mengarahkan filem Melayu mendorongnya mendapatkan bimbingan pengarah dan penulis skrip berpengalaman, Zulkifli M Osman, selain bekerjasama dengan beberapa penasihat lain.
Kerjasama ini bagi memastikan aspek bahasa, sejarah dan budaya yang diketengahkan kekal tepat.
Hampir dua tahun diperuntukkan untuk melakukan kajian sejarah, membangunkan skrip, memilih pelakon dan membuat persiapan produksi bagi memastikan aspek bahasa serta budaya diberi perhatian.
Pemegang ijazah dalam bidang kaunseling dan pengurusan turut mengakui berasa gementar ketika pertama kali mengarahkan barisan pelakon berpengalaman termasuk pelakon veteran Jalaluddin Hassan.
Namun sokongan barisan pelakon dan kru membantunya menyiapkan karya yang akhirnya menjalani penggambaran di Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Perak dan Thailand.
Lebih 200 kru terbabit dalam produksi dengan kos keseluruhan mencecah RM2.2 juta.
Menariknya, barisan pelakon The Keris turut terdiri daripada pelbagai kaum selain menampilkan seorang pelakon antarabangsa.
Pemilihan itu selari dengan mesej yang mahu disampaikan Viknes betapa perbezaan latar belakang tidak menghalang masyarakat daripada berkongsi dan menghargai warisan negara.
Keris, silat atau kisah Hang Tuah mungkin berakar daripada warisan Melayu, tetapi bagi Viknes, usaha mengenali dan menghargainya tidak perlu dibatasi warna kulit.
Dalam masyarakat berbilang kaum, sejarah boleh menjadi jambatan yang menemukan rakyat pada satu identiti yang dikongsi bersama.

PENCAPAIAN:
Pengarah Terbaik – Coimbatore International Film Festival
Filem Terbaik – Rome Prisma Independent Film Awards
Filem Antarabangsa Terbaik – New Indie Film Festival of London
Genre/Cereka Filem Terbaik – Tagore International Film Festival
Pengiktirafan di Norway Tamil Film Festival, MLC Awards of Green Bay, Vesuvius International Film Festival, Cosmo Film Festival dan Indiescreen Awards
Malaysia Book of Records - Filem Paramapatham mencatat filem Tamil Malaysia menang anugerah antarabangsa terbanyak (16 anugerah)







