SHAH ALAM, 22 JULAI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan enam negeri sehingga jam 11 pagi ini.
MetMalaysia memaklumkan kawasan terlibat di Kedah ialah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.
Amaran sama turut melibatkan seluruh Pulau Pinang, selain daerah Kerian serta Larut, Matang dan Selama di Perak.
Di Pahang, cuaca buruk dijangka berlaku di Rompin, manakala di Johor melibatkan Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru.
Bagi Sabah, kawasan terjejas ialah Telupid, Beluran dan Sandakan di Bahagian Sandakan, selain Pitas serta Kudat di Bahagian Kudat.
"Amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam (mm/j) yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam.
"Amaran ribut petir ialah amaran cuaca jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan supaya berwaspada terhadap kemungkinan berlaku hujan lebat, ribut petir dan angin kencang sepanjang tempoh amaran berkuat kuasa.






