KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Malaysia diunjur berstatus “negara tua” menjelang 2048 dan secara rasmi bergelar “negara menua” sejak 2021, dengan populasi berusia 65 tahun ke atas mencecah tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.
Pada masa sama, negara juga mencatatkan penurunan kadar kelahiran hidup secara konsisten dalam tempoh 10 tahun sejak 2015 dengan lonjakan kecil pada 2023.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan nisbah kelahiran bagi setiap 1,000 penduduk jatuh daripada 16.7 pada 2015 kepada hanya 12.2 pada 2024.
Malah, menurut DOSM, Malaysia mencatatkan kadar kelahiran hidup terendah pada 2024, iaitu hanya 414,918 kelahiran dalam tempoh 44 tahun sejak 1980.
Data terkini pula menunjukkan bilangan kelahiran hidup pada suku pertama 2026 merosot 3.1 peratus kepada 94,807 kelahiran berbanding 97,843 bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya (2025).
DOSM mengaitkan penurunan kadar kelahiran di negara ini dengan perubahan gaya hidup, peningkatan kos sara hidup, melewatkan perkahwinan dan penurunan Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) yang kini berada di bawah paras penggantian 1.6 berbanding kadar ideal 2.1.
(TFR merujuk purata bilangan anak yang akan dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang hayatnya berdasarkan tempoh usia subur, iaitu antara 15 hingga 49 tahun. Sumber DOSM.)
CABARAN WANITA BEKERJA
Mengupas isu itu, Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya & Antarabangsa), Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia Dr Nik Norliati Fitri Md Nor berkata wanita bekerjaya berdepan dilema.
Mereka yang perlu kembali bekerja selepas bersalin biasanya berdepan cabaran dalam mengimbangi kehidupan peribadi dan kerjaya, dengan kehadiran bayi menambahkan lagi komitmen pada keluarga.
Namun, untuk mereka berhenti bekerja dan memberikan sepenuh tumpuan kepada keluarga juga bukan satu pilihan bagi kebanyakan pasangan muda lantaran peningkatan kos sara hidup yang menuntut kedua-dua, suami dan isteri, menyumbang kepada ekonomi keluarga.
Justeru, ada pasangan yang mengambil langkah merancang bilangan anak atau menjarakkan kehamilan bagi menyesuaikan tanggungjawab keibubapaan dengan kemampuan kewangan, tuntutan kerjaya dan kesejahteraan keluarga secara keseluruhan.
Turut menambah beban yang dihadapi wanita ialah cabaran kesihatan mental selepas bersalin. Sebahagian ibu mengalami tekanan emosi, kebimbangan atau kemurungan selepas bersalin (kemurungan pascapartum), yang bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan diri dan keluarga, malah berpotensi mempengaruhi prestasi, produktiviti serta penyesuaian mereka apabila kembali ke alam pekerjaan.
“Cabaran pascabersalin bukan sekadar isu individu atau keluarga, tetapi berkait rapat dengan penyertaan wanita dalam pasaran buruh, kesejahteraan keluarga dan dalam jangka panjang, mempengaruhi trend kesuburan negara," katanya.
KESAN KURANG KELAHIRAN
Mengulas lanjut situasi penurunan kadar kelahiran, Nik Norliati berkata jika trend penurunan ini berterusan, negara akan berdepan implikasi jangka panjang, khususnya dari segi saiz populasi.
"Kadar kelahiran rendah tidak memberikan kesan serta-merta, tetapi dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang negara akan mempunyai bilangan tenaga kerja baharu yang semakin kecil untuk memasuki pasaran pekerjaan.
"Keadaan ini boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi kerana tenaga kerja merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada produktiviti dan pembangunan negara.
"Apabila bilangan pekerja berkurangan, sektor tertentu mungkin berdepan kesukaran mendapatkan tenaga kerja yang mencukupi, terutamanya sektor yang memerlukan pekerja dalam jumlah besar," katanya.
Untuk tempoh jangka panjang, Nik Norliati berkata keadaan tersebut boleh meningkatkan kebergantungan pada tenaga kerja asing serta menyukarkan usaha negara beralih kepada ekonomi berpendapatan tinggi yang berasaskan produktiviti dan inovasi.
"Generasi muda lazimnya menjadi sumber penting kepada pembentukan kemahiran baharu, adaptasi teknologi dan pembangunan modal insan yang diperlukan dalam ekonomi moden.
"Pada masa sama, Malaysia juga sedang menuju masyarakat menua. Apabila bilangan warga emas meningkat dan bilangan penduduk muda semakin berkurangan, nisbah tanggungan akan menjadi semakin tinggi.
"Ini bermaksud semakin sedikit penduduk yang bekerja dan mereka perlu menyokong semakin ramai warga emas melalui sistem percukaian, perkhidmatan kesihatan dan pelbagai program perlindungan sosial.
"Dari sudut sistem pencen dan persaraan pula, cabaran utama ialah bagaimana memastikan kelestarian sistem itu apabila jumlah pencarum berkembang lebih perlahan berbanding pertumbuhan penduduk yang memasuki usia persaraan," katanya.
Jelas beliau, situasi berkenaan akan menyebabkan negara berisiko berdepan dengan peningkatan tekanan terhadap kewangan awam dan perbelanjaan sosial kerajaan, khususnya dalam aspek kesihatan, penjagaan jangka panjang dan keselamatan sosial.
"Lebih penting, perkara ini akan mengubah struktur penduduk negara secara keseluruhan. Malaysia yang sebelum ini menikmati kelebihan sebagai sebuah negara yang mempunyai populasi muda, akan beralih kepada struktur penduduk dengan peratusan warga emas yang lebih besar.
"Perubahan demografi seperti ini memerlukan penyesuaian dalam pelbagai aspek termasuk kesihatan, perumahan, pengangkutan, pasaran buruh dan sistem perlindungan sosial.
"Oleh sebab itu isu kadar kelahiran rendah tidak seharusnya dilihat sebagai isu keluarga semata-mata, tetapi merupakan isu strategik yang mempunyai implikasi langsung terhadap pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan daya tahan negara pada masa depan," katanya.
ELAUN PASCA CUTI BERSALIN
Sehubungan dengan itu, Nik Norliati melihat langkah kerajaan memperkenalkan Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) sebagai satu dasar yang kritikal dalam membantu golongan ibu bekerjaya melalui tempoh peralihan selepas bersalin.
"EPCB perlu dilihat melangkaui aspek kebajikan semata-mata. Malaysia kini berdepan trend penurunan kadar kesuburan dengan kadar kesuburan berada sekitar 1.6 anak bagi setiap wanita, iaitu di bawah paras penggantian penduduk.
"Pada masa sama negara sedang bergerak ke arah struktur penduduk yang semakin menua. Dalam keadaan ini sokongan kepada keluarga muda, khususnya ibu bekerja, semakin penting kerana pengalaman selepas melahirkan anak sering mempengaruhi keputusan pasangan untuk menambah bilangan anak pada masa akan datang,” katanya.
EPCB diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2026, Mei lalu dengan tujuan menyokong penyertaan wanita dalam tenaga buruh dan mengurangkan tekanan yang dihadapi ibu selepas melahirkan.
Elaun itu yang dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial, dibayar secara sekali beri kepada ibu yang mengambil cuti bersalin tambahan selama 30 hari lagi selepas tamat cuti bersalin 98 hari dengan gaji penuh. EPCB dibayar pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan pekerja itu.
Menurut Nik Norliati, tambahan 30 hari lagi cuti itu dapat membantu ibu menyesuaikan diri sebelum kembali ke alam pekerjaan sepenuhnya.
“Kajian antarabangsa menunjukkan sokongan yang mencukupi dalam tempoh selepas bersalin dapat membantu mengurangkan tekanan berkaitan konflik antara kerja dan keluarga, di samping menyokong kesejahteraan mental ibu serta perkembangan awal kanak-kanak,” katanya.
BUKAN PENYELESAIAN TUNGGAL
Menyifatkan EPCB sebagai permulaan baik ke arah pembentukan ekosistem yang lebih mesra keluarga, Nik Norliati berkata dasar itu akan lebih berkesan jika disokong dengan dasar lain seperti kemudahan penjagaan kanak-kanak yang berkualiti dan mampu milik, pengaturan kerja fleksibel, sokongan penyusuan di tempat kerja serta penglibatan bapa yang lebih aktif dalam penjagaan anak.
“Keputusan untuk memiliki anak merupakan keputusan jangka panjang yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor ekonomi, sosial dan pekerjaan dan bukannya semata-mata berdasarkan bantuan kewangan yang diterima selepas kelahiran,” tegasnya.
Oleh itu, Nik Norliati berkata walaupun dapat mengurangkan sebahagian beban pada peringkat awal, bantuan kewangan tersebut mungkin tidak mencukupi untuk menangani kebimbangan jangka panjang yang dihadapi oleh keluarga muda.
"Pengalaman banyak negara menunjukkan dasar keluarga yang berkesan biasanya melibatkan gabungan pelbagai bentuk sokongan seperti cuti keibubapaan yang mencukupi, kemudahan penjagaan kanak-kanak yang berkualiti dan mampu milik, pengaturan kerja fleksibel, perlindungan pekerjaan selepas bersalin serta sokongan berterusan kepada ibu bapa yang bekerja.
"Apabila elemen ini wujud secara serentak, pasangan akan lebih yakin untuk merancang kehidupan berkeluarga tanpa merasakan kehadiran anak sebagai satu risiko kepada kestabilan kewangan atau perkembangan kerjaya mereka.
"Dalam konteks Malaysia, EPCB boleh dilihat sebagai satu langkah yang progresif kerana ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyokong ibu bekerja dalam tempoh kritikal selepas bersalin,” katanya.
CONTOHI NEGARA LAIN
Nik Norliati berkata terdapat beberapa negara berjaya meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam pasaran tenaga kerja selain turut menggalakkan kadar kelahiran menerusi pelbagai bentuk sokongan.
Beliau berkata Malaysia boleh mencontohi Sweden, Perancis, Jerman dan Korea Selatan kerana negara berkenaan menyediakan pelbagai bentuk sokongan kepada ibu bapa, termasuk cuti keibubapaan berbayar, elaun keluarga, subsidi penjagaan kanak-kanak dan perlindungan pekerjaan selepas kelahiran anak.
"Pengalaman negara ini menunjukkan sokongan yang berterusan kepada keluarga dapat membantu wanita kekal dalam pasaran pekerjaan walaupun selepas mempunyai anak.
"Contoh negara di Eropah Barat banyak menumpukan pada pengurangan kos membesarkan anak melalui subsidi penjagaan kanak-kanak, kemudahan pendidikan awal dan perlindungan pekerjaan semasa tempoh keibubapaan.
"Korea Selatan pula memperkukuh perlindungan pekerjaan dan pelbagai insentif untuk menggalakkan wanita kembali bekerja selepas bersalin. Walaupun setiap negara mempunyai konteks sosial dan ekonomi berbeza, satu persamaan yang jelas ialah mereka tidak bergantung pada bantuan kewangan semata-mata.
"Sebaliknya, mereka membangunkan ekosistem yang membolehkan ibu bapa mengimbangi tanggungjawab keluarga dan kerjaya," katanya, menambah sokongan kepada keluarga perlu dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang.
Beliau juga berpendapat masih ada ruang untuk pihak berwajib meningkatkan keyakinan pasangan muda bagi membesarkan saiz keluarga apabila mereka disokong oleh dasar yang lebih mesra keluarga.
NAFAS BAHARU BUAT WANITA
Bukan mudah menggalas tugas sebagai seorang ibu kepada empat cahaya mata berusia dua hingga 10 tahun, membuatkan Nur Izzati Mamat, 33 nekad mengambil Cuti Tanpa Gaji hampir setahun bermula April tahun lalu.
Ujar pembantu tadbir itu yang kembali bekerja pada Februari lalu, keputusan mengambil cuti berkenaan merupakan langkah terbaik demi menguruskan anak-anak yang memerlukan perhatian kerana kesemuanya masih kecil.
"Dari segi kesan, kami hilang satu sumber pendapatan dan perlu berjimat. Manakala dari sudut kerjaya pula saya terpaksa menerima bahawa perkembangan kerjaya menjadi sedikit perlahan kerana tidak berada di tempat kerja untuk tempoh yang agak lama," katanya.
Menyifatkan pemberian elaun pasca cuti bersalin sebagai satu usaha murni dan dapat meringankan beban ibu yang baru lepas bersalin, Nur Izzati bagaimanapun berkata waktu kerja anjal dan majikan yang memahami keperluan ibu bekerja juga sangat penting.
"Kadang-kadang seorang ibu bukan perlukan cuti yang panjang tetapi sedikit kelonggaran apabila berdepan urusan anak atau kecemasan keluarga," katanya.









