SHAH ALAM, 19 OKT: Kerajaan Persekutuan digesa mempercepat penggubalan undang-undang yang mewajibkan anak dewasa memberi sokongan kewangan kepada ibu bapa yang sudah lanjut usia.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata undang-undang sedemikian penting bagi memastikan reformasi institusi yang adil.
Katanya, beliau menerima aduan ramai warga emas pelbagai kaum yang diabaikan anak-anak mereka.
“Tidak beri duit, ziarah pun tidak,” katanya dipetik akhbar The Star selepas menghadiri program Deepavali Humanitarian and Environment anjuran LC Perak Silver State dan Ipoh City Watch di Kinta Heights, Ipoh, semalam.
Kulasegaran menegaskan beliau pernah membangkitkan isu itu ketika menjadi pembangkang dan percaya kerajaan kini perlu meletakkannya sebagai keutamaan.
“Saya pernah membangkitkan isu ini ketika menjadi pembangkang, dan saya fikir kerajaan semasa perlu menjadikan ia keutamaan kerana bagi saya, ia adalah sebahagian daripada reformasi institusi,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Singapura sudah lama melaksanakan undang-undang serupa dan ia terbukti memberi manfaat kepada rakyat serta kerajaan.
“Saya gesa kerajaan segerakan undang-undang ini kerana ia situasi menang-menang buat ibu bapa dan kerajaan,” katanya menambah yang tidak wajar kos penjagaan warga emas ditanggung sepenuhnya kerajaan.
Beliau turut mengakui cadangan tersebut mungkin dianggap sensitif oleh segelintir pihak, namun berpendapat ia langkah reformasi yang penting.
“Anda takut kerana ada akta dan ia boleh dikuatkuasa, tetapi anda bagi (duit) juga kerana anda sayangkan ibu bapa,” katanya.
Menjawab pertanyaan lanjut wartawan, beliau menyatakan jumlah sumbangan bergantung kepada pendapatan individu.
“Kalau pendapatan RM5,000 sebulan, beri RM500 kepada ibu bapa tidak terlalu membebankan,” katanya.
Tambahnya, undang-undang berkenaan boleh menjadi pemangkin kepada perpaduan kekeluargaan dan rasa tanggungjawab terhadap orang tua.
Sebelum ini, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Julai 2025 mendedahkan yang Malaysia secara rasmi menjadi negara menua pada 2021 dengan lebih tujuh peratus penduduk berusia 65 tahun ke atas dan dijangka menjadi negara tua pada 2048.