Hijrah Selangor tawar Dana Pantas, Dana Niaga Tani bernilai RM20 juta Ogos depan

21 Jul 2026, 2:00 PM
Hijrah Selangor tawar Dana Pantas, Dana Niaga Tani bernilai RM20 juta Ogos depan
Hijrah Selangor tawar Dana Pantas, Dana Niaga Tani bernilai RM20 juta Ogos depan
Hijrah Selangor tawar Dana Pantas, Dana Niaga Tani bernilai RM20 juta Ogos depan

KLANG, 21 JULAI: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) bakal membuka permohonan dua pembiayaan mikro baharu berjumlah RM20 juta bermula Ogos ini bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan, termasuk mereka yang ingin memulakan langkah dalam bidang keusahawanan.

Ketua Pegawai Perniagaan Yayasan Hijrah Selangor berkata pembiayaan berkenaan merangkumi Dana Pantas berjumlah RM13 juta yang terbuka kepada semua sektor perniagaan serta Dana Niaga Tani bernilai RM7 juta khusus bagi sektor pertanian, perikanan, penternakan dan akuakultur.

Menurut Nilammasri Jaafar permohonan bagi kedua-dua dana itu dijangka dibuka bermula 18 Ogos hingga Disember ini kepada usahawan yang memenuhi syarat ditetapkan.

Ketua Pegawai Perniagaan Yayasan Hijrah Selangor Nilammasri Jaafar ditemui media pada Majlis pelancaran aplikasi digital dana plus Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) di Hotel Whyndham Acmar Klang pada 21 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

"Dana dibuka kepada pemohon yang layak, tiada caj perkhidmatan dan hanya perlu bayar balik bayaran pokok," katanya pada Majlis Perasmian Aplikasi Digital Hijrah Selangor – Dana Plus di Hotel Wyndham Acmar, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara syarat permohonan termasuklah perniagaan sudah beroperasi sekurang-kurangnya setahun bagi Dana Pantas, manakala minimum enam bulan bagi Dana Niaga Tani.

Selain itu, perniagaan perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan (PBT) atau memiliki lesen badan profesional berkaitan.

"Pembiayaan juga dibuka kepada usahawan berusia antara 18 hingga 65 tahun dan sektor perniagaan yang dijalankan mestilah mematuhi syariah," tambahnya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor Dato’ Mearia Hamzah melakukan simbolik pelancaran aplikasi digital dana plus Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) di Hotel Whyndham Acmar Klang pada 21 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Dato' Mearia Hamzah berkata pihaknya turut menyediakan kemudahan penjadualan semula pinjaman kepada usahawan yang berdepan kesukaran membuat bayaran balik akibat keadaan semasa.

"Tempoh bayaran balik boleh dipanjangkan sehingga lima tahun berbanding tiga tahun supaya usahawan yang terjejas masih boleh lagi buat pembayaran balik kepada kita," katanya.

Dalam pada itu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata pembukaan Dana Pantas dan Dana Niaga Tani adalah sebahagian daripada pakej rangsangan Kerajaan Negeri bagi membantu individu yang terkesan, termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan dan ingin menceburi bidang keusahawanan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis pelancaran aplikasi digital dana plus Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) di Hotel Whyndham Acmar Klang pada 21 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

"Ini adalah usaha kita menangani kesan daripada krisis yang berlaku, termasuk membantu mereka yang kehilangan pekerjaan atau memerlukan suntikan pertama untuk memulakan perniagaan melalui pembiayaan mikro," katanya.

Beliau berkata inisiatif pembiayaan mikro itu turut menyediakan alternatif yang lebih selamat kepada usahawan berbanding mendapatkan pinjaman daripada pemberi pinjaman tidak berlesen.

"Bayangkan jika tidak ada pinjaman mikro, pilihan yang mereka ada adalah melalui pemberi pinjaman lintah darat dan ataupun dalam istilah lain orang sebut along yang kenakan caj bunga yang tinggi," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.