ad

118 usahawan mikro Selangor terima geran DUMS, lonjak daya saing perniagaan

28 Okt 2025, 11:57 PM
118 usahawan mikro Selangor terima geran DUMS, lonjak daya saing perniagaan

KLANG, 29 OKT: Seramai 118 usahawan mikro di Selangor menerima geran di bawah program Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) bagi membantu memperkukuh dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

EXCO Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata, mereka antara ribuan pemohon yang disenarai pendek dan berjaya menerima peralatan bersesuaian dengan keperluan perniagaan mengikut had maksimum RM30,000.

Beliau menjelaskan, pemberian geran tersebut bukan sekadar memenuhi permintaan usahawan, sebaliknya menjadi pemangkin untuk mereka terus berdaya saing dalam pasaran.

“Kita harap penerima dapat memanfaatkan geran ini dengan sebaiknya. Ia bukan hanya menampung keperluan jangka pendek, tetapi memastikan perniagaan kekal bertahan dan terus berkembang dalam jangka panjang.

“Saya doakan semoga 10 hingga 20 tahun akan datang, anda boleh menyebut bahawa DUMS lah yang membantu membentuk dan mengembangkan perniagaan sehingga ke hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Plak DUMS di Wyndham Acmar Klang, hari ini.

Mohd Najwan turut menegaskan Kerajaan Negeri mahu melihat usahawan yang dibantu bukan sahaja berjaya untuk diri sendiri, tetapi turut memberi manfaat kepada masyarakat.

“Selain mengejar keuntungan, diharap usahawan ini juga mencipta peluang ekonomi kepada komuniti setempat seperti membuka peluang pekerjaan untuk anak muda.

“Kita tidak mahu bantuan ini hanya bersifat sementara. Sebaliknya, biarlah perniagaan ini kekal, berkembang dan boleh diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Program DUMS dilaksanakan melalui peruntukan RM2 juta oleh Kerajaan Negeri bagi menyokong usahawan mikro berpotensi dalam pelbagai sektor termasuk makanan, perkhidmatan dan kraf.

Diperkenal sejak 2015 sebagai penjenamaan semula Dana Usahawan Mikro Selangor, inisiatif itu bertujuan membantu peniaga kecil meningkatkan produktiviti operasi selain meringankan beban modal membeli peralatan perniagaan.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sebanyak RM20.06 juta telah dibelanjakan Kerajaan Negeri bagi membantu ribuan usahawan mikro sejak program itu dilaksanakan.