SHAH ALAM, 7 NOV: Perkhidmatan ambulans percuma Kita Selangor yang dilancarkan hari ini bakal memberi manfaat kepada penduduk di 26 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) meliputi tiga daerah iaitu Petaling, Kuala Langat dan Kuala Selangor.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kawasan Klang menjadi lokasi utama pelaksanaan dengan penyediaan 26 ambulans, termasuk satu ambulans neonatal dan dua ambulans bariatrik bagi pesakit obesiti.
“Kawasan Klang ini merupakan yang paling besar menerima perkhidmatan kerana ia melibatkan begitu banyak lokaliti dan bukan hanya ambulans yang standard yang turut melibatkan neonatal serta bariatric ambulans.
“Kita dapati ia akan memberi manfaat kepada 26 kawasan DUN daripada Sungai Burong, Ijok, Jeram, Seri Kembangan, Kota Anggerik, Batu Tiga, Bukit Gasing hingga Sungai Pelek menjadi antara yang terlibat sepanjang kawasan tersebut,” katanya.

Ditemui selepas merasmikan perkhidmtan ambulans tersebut, Amirudin menjelaskan pelaksanaan projek berkenaan mengambil masa setahun selepas diumumkan dalam Belanjawan 2025 kerana Kerajaan Negeri perlu meneliti model terbaik dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kita mahu pastikan pelaksanaannya berkesan tanpa menambah beban kepada PBT atau KKM.
“Perkhidmatan ini akan dinilai dari semasa ke semasa dan dipertingkatkan jika ada keperluan,” katanya.
Permohonan boleh dibuat melalui Pusat Khidmat Masyarakat di daerah yang terlibat yang akan diselaraskan bersama St John Ambulans Malaysia (SJAM) Selangor selaku rakan pelaksana utama untuk program itu.
Sebelum ini, Amirudin dalam pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan perkhidmatan itu membabitkan kos RM1 juta melalui Tabung Selangor Bangkit.








