KDEBWM susun semula operasi, kekal efisien walau kos diesel naik

28 Jul 2026, 6:00 AM
KDEBWM susun semula operasi, kekal efisien walau kos diesel naik
KDEBWM susun semula operasi, kekal efisien walau kos diesel naik

SHAH ALAM, 28 JULAI: KDEB Waste Management (KDEBWM) menyusun semula operasi kutipan sisa pepejal bagi menangani peningkatan kos diesel, tanpa mengurangkan kekerapan kutipan sampah.

Pengarah urusannya berkata langkah itu melibatkan penyusunan semula laluan lori, pelarasan jadual kutipan serta penggunaan aset lebih cekap bagi mengawal kos operasi yang terus meningkat.

Menurut Dato' Ramli Mohd Tahir, pihaknya perlu melaksanakan transformasi operasi bagi memastikan perkhidmatan kutipan sampah di seluruh negeri terus lancar walaupun berdepan tekanan kos.

"Kita cuba mengoptimumkan segala bantuan dan aset yang ada. Laluan disusun semula supaya lebih efisien, selain memastikan penggunaan lori dimaksimumkan tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan.

"Apabila kos diesel meningkat, ia secara langsung menambah kos operasi terutama melibatkan penggunaan lori di lebih 1,300 kawasan perkhidmatan KDEBWM di seluruh Selangor," katanya kepada Media Selangor.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir ketika ditemu bual Media Selangor di pejabat agensi itu di Shah Alam pada 04 MAC 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Jelasnya, KDEBWM juga memasuki kawasan tertentu lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sekali gus mengurangkan tempoh lori berada di jalan raya dan menjimatkan penggunaan bahan api.

"Namun kita juga perlu pastikan perubahan jadual ini tidak menyebabkan ada penduduk yang belum sempat mengeluarkan sampah," kata Ramli.

Pada masa sama, katanya, peningkatan kos diesel memberi kesan besar terhadap operasi lori Roll-On Roll-Off (Roro) yang digunakan bagi kutipan sampah pukal dan sisa pembersihan.

Menurutnya, sebuah lori Roro mampu melakukan sehingga tiga perjalanan sehari ke tapak pelupusan sebelum ini, namun peningkatan kos bahan api menyebabkan operasi itu jauh lebih mahal.

"Dahulu tiga perjalanan sehari masih boleh diuruskan dari segi kos, tetapi sekarang setiap pengisian diesel memberi impak yang sangat besar kepada operasi.

"Kita sedang menilai semula kawasan yang benar-benar kritikal supaya dua perjalanan dapat dioptimumkan, manakala kawasan yang kurang mendesak akan dijadualkan semula ke hari berikutnya bagi mengelakkan berlaku tunggakan operasi," jelasnya.

Dalam pada itu, Ramli memaklumkan pihaknya juga sedang berbincang dengan Kerajaan Negeri bagi mencari penyelesaian supaya peningkatan kos diesel tidak menjejaskan kelancaran perkhidmatan.

"Kita berharap ada penyelesaian yang dapat membantu menampung kekurangan kos ini supaya operasi dapat diteruskan seperti biasa dan rakyat terus menerima perkhidmatan yang terbaik," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.