SHAH ALAM, 21 JULAI: Polis menumpaskan cubaan mengedar dadah antarabangsa menerusi penahanan tujuh individu selain turut merampas 247.8 kilogram (kg) dadah jenis bunga ganja bernilai RM19.82 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) bulan ini.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata tangkapan melibatkan seorang wanita warga tempatan serta empat lelaki dan dua perempuan warga asing dipercayai berperanan sebagai keldai dadah bagi sindiket berasingan.
Beliau berkata tangkapan dilakukan pada 11,13, 14 dan 17 Julai, dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA dan Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad setelah pemeriksaan dilakukan terhadap bagasi kesemua suspek.
“Dalam kes ini secara keseluruhan sebanyak 393 bungkus dadah disyaki jenis bunga ganja telah ditemukan dalam bagasi dibawa suspek terlibat, yang kesemuanya dipercayai menuju ke Eropah,” katanya pada sidang media Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, di sini hari ini.
Shazeli berkata tiga suspek warga asing yang ditahan dikesan positif dadah jenis THC, selain seorang lagi suspek juga warga asing dikenal pasti sebagai pesalah berulang.
Beliau berkata siasatan awal turut mendapati suspek dibayar antara RM6,000 hingga RM15,000 sebagai upah dengan kesemua individu terlibat telah masuk ke dalam negara dengan menggunakan pas lawatan sosial.
“Turut dirampas dalam kes ini ialah mata wang negara asing dengan pelbagai jumlah serta dua utas rantai bernilai RM3,000,” katanya.
Shazeli turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat sebagai keldai dadah dengan menerima tawaran membawa bagasi atau barangan milik pihak lain tanpa mengetahui isi kandungan.
“Jangan mudah terperdaya dengan janji upah lumayan kerana tindakan tersebut boleh mengundang implikasi undang-undang yang sangat serius,” katanya.
Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.







