NARATHIWAT, 17 OKT: Seorang lelaki rakyat Malaysia ditahan polis Thailand selepas disyaki cuba menyeludup 20 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM36,599 melalui Pusat Pemeriksaan Kastam Padang Besar, Daerah Sadao, Songkhla, semalam.
Suspek berusia lingkungan 30-an itu diberkas kira-kira jam 11.45 pagi ketika memandu kereta bernombor pendaftaran Malaysia yang sedang menuju ke negara ini.
Jurucakap Polis Wilayah 9 berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan terbabit menemukan sejumlah bunga ganja yang disembunyikan dalam ruang khas diubah suai.
“Bunga ganja itu dibungkus dalam beberapa beg plastik lut sinar dan disembunyikan dalam ruang khas yang diubah suai supaya boleh diakses dari bahagian tempat duduk penumpang serta but kereta,” katanya, lapor Utusan Malaysia.
Menurutnya, penahanan dilakukan ketika kenderaan berkenaan melalui pusat pemeriksaan kastam sebelum suspek ditahan kerana disyaki cuba membawa keluar bunga ganja dari Thailand.
“Kereta itu ditahan ketika menuju ke Malaysia sebelum pemandunya, lelaki rakyat Malaysia berusia lingkungan 30-an diberkas kerana disyaki cuba menyeludup keluar bunga ganja dari Thailand,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jurucakap itu berkata, hasil semakan mendapati nilai bunga ganja terbabit boleh mencecah antara RM700,000 hingga RM1.96 juta sekiranya memasuki pasaran Malaysia.
Katanya, anggaran nilai berkenaan bergantung pada gred bunga ganja serta rantaian bekalan sebelum dipasarkan di negara ini.
Suspek berdepan pertuduhan mengikut Akta Kastam B.E. 2560 (2017) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda empat kali ganda nilai barangan terbabit atau kedua-duanya sekali.
“Suspek turut boleh dikenakan penalti tambahan sekiranya bunga ganja itu bernilai lebih RM3,659.50 sekilogram,” katanya.








