AKPS gagalkan cubaan seludup bunga ganja bernilai RM1.69 juta di KLIA

1 Jul 2026, 1:37 PM
AKPS gagalkan cubaan seludup bunga ganja bernilai RM1.69 juta di KLIA

SHAH ALAM, 1 JULAI: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggagalkan cubaan menyeludup keluar bunga ganja bernilai RM1.69 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang, Isnin lalu.

AKPS dalam kenyataan memaklumkan rampasan itu dilakukan hasil pemeriksaan bagasi daftar masuk di In-Line Baggage Screening (ILB) FS-1, KLIA Terminal 1.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan 39 bungkusan disyaki mengandungi bunga ganja seberat 21.140 kilogram.

"Rampasan itu dianggarkan mampu menampung penggunaan 70,333 individu pada satu-satu masa.

"Kejayaan ini hasil tindakan bersepadu dan kerjasama erat antara AKPS KLIA dengan Aviation Security (AVSEC) dalam memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk negara serta membanteras aktiviti penyeludupan rentas sempadan," menurut kenyataan itu hari ini.

AKPS berkata suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut undang-undang berkuat kuasa.

Menurut agensi itu, kejayaan berkenaan membuktikan keberkesanan sistem kawalan keselamatan berlapis di pintu masuk dan keluar negara, selain mencerminkan tahap kesiapsiagaan anggota penguat kuasa dalam mengesan cubaan penyeludupan menggunakan pelbagai modus operandi.

"AKPS akan terus memperkukuh kawalan sempadan negara menerusi pendekatan penguatkuasaan bersepadu, penggunaan teknologi pemeriksaan terkini serta kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa.

"Langkah ini penting bagi membanteras aktiviti penyeludupan dadah dan jenayah rentas sempadan. AKPS juga tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman awam serta kesejahteraan negara," menurut kenyataan itu.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.