Kerajaan beri masa platform laksana had umur 16 tahun media sosial

21 Jul 2026, 5:24 AM
Kerajaan beri masa platform laksana had umur 16 tahun media sosial

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Kerajaan memberi masa kepada pengendali media sosial untuk melaksanakan penguatkuasaan had umur 16 tahun bagi pemilikan akaun media sosial, yang mula berkuatkuasa pada 1 Jun lalu.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kelonggaran itu susulan permintaan pengendali platform terbabit yang memohon tempoh bersesuaian

“Setakat ini, proses tersebut sedang berjalan. Kita lihat tanda-tanda yang baik dalam kalangan platform dan saya difahamkan ada sedikit perbincangan kerana pihak kerajaan dan platform ingin memastikan tidak berlaku salah faham terhadap kod yang telah dibangunkan.

“Jadi, kita nampak mereka telah meminta sedikit masa. Kita telah berikan dan saya lihat kerjasama pada waktu ini adalah baik, tetapi ia mungkin akan makan masa,” katanya pada sidang media.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berucap dan merasmikan Majlis Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 di Hotel Shangri’la Kuala Lunpur pada 21 Julai 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Beliau ditemui selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 di Hotel Shangri-La di sini hari ini, yang turut dihadiri timbalannya, Teo Nie Ching.

Persidangan tahunan kali ketiga anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu diadakan dengan tema Membentuk Era Digital Ke Hadapan: Peraturan, Ketahanan dan Kepercayaan.

Beliau dalam pada itu, Fahmi menegaskan, pengendali media sosial berdepan tindakan undang-undang jika gagal mematuhi kod Kod Mitigasi Risiko (RMC) dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) yang telah diwartakan.

Majlis Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 di Hotel Shangri’la Kuala Lunpur pada 21 Julai 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Kegagalan mematuhi kod yang telah diterbitkan dan diwartakan ini boleh menyebabkan beberapa tindakan diambil, termasuk tindakan mahkamah dengan denda sehingga RM10 juta atau penalti kewangan yang boleh dikenakan dalam jumlah yang agak besar,” katanya.

SKMM menerbitkan CPC dan RMC yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun lalu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866), bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, terutama bagi melindungi kanak-kanak daripada risiko dan kemudaratan dalam talian.

Obligasi di bawah kod itu terpakai kepada Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP) dan Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) berlesen (Pemberi Perkhidmatan Berlesen) di bawah Akta 866.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.