Malaysia, Singapura, Indonesia bincang tindakan tangani kandungan mudarat dalam media sosial

17 Nov 2026, 6:41 AM
Malaysia, Singapura, Indonesia bincang tindakan tangani kandungan mudarat dalam media sosial

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Malaysia, Singapura dan Indonesia dijangka mengadakan perbincangan pada pertengahan Disember ini, bagi menyelaraskan pendekatan dalam menangani keengganan platform media sosial mengambil tindakan secara menyeluruh dan automatik terhadap kandungan memudaratkan dalam talian.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata beliau dijadualkan bertemu rakan sejawatnya dari dua negara jiran itu bagi membincangkan cabaran dihadapi bersama susulan kurangnya kerjasama penyedia platform digital dalam menangani kandungan berkenaan.

Beliau berkata kerjasama serantau itu penting bagi meningkatkan tekanan terhadap platform media sosial supaya lebih bertanggungjawab, khususnya dalam menangani kandungan berulang termasuk pemalsuan imej atau deepfake menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Kita mesti bekerjasama dengan rakan-rakan di rantau Asia Tenggara supaya platform ini perlu mendengar.

“Singapura dianggap sebagai ibu pejabat serantau bagi banyak platform media sosial, Indonesia mempunyai jumlah pengguna paling besar, manakala banyak daripada pusat pangkalan data terletak di Malaysia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Fahmi menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai keperluan platform digital menyaring kandungan deepfake sebelum diterbitkan, mengesan pihak yang menghasilkan kandungan berkenaan serta menyekat bahan palsu daripada dimuat naik semula.

Beliau berkata cabaran utama dihadapi kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ialah kurangnya kerjasama platform media sosial yang seolah-olah tidak mengambil serius aduan berulang kali.

Menurutnya, masalah sama sebelum ini berlaku terhadap kandungan perjudian dalam talian yang merangkumi lebih 60 peratus daripada keseluruhan kandungan dimohon MCMC untuk diturunkan, namun platform masih gagal mengambil tindakan secara automatik meskipun mengetahui kandungan berkenaan berulang.

Sehubungan dengan itu, Fahmi berkata kerajaan telah memberikan tempoh hingga hujung tahun ini kepada penyedia platform untuk menyediakan kerangka tindakan automatik selaras dengan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang berkuat kuasa 1 Jun lepas.

Beliau berkata tindakan sewajarnya akan dikenakan sekiranya platform gagal mematuhi keperluan ditetapkan selepas tempoh berkenaan termasuk denda RM1 juta hingga RM10 juta bagi setiap kesalahan.

Sementara itu menjawab soalan berasingan, Fahmi berkata MCMC diminta memanggil 10 syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi mewujudkan mekanisme baharu pengesahan identiti kontraktor dan petugas penyelenggaraan termasuk cadangan penggunaan kod QR.

Beliau berkata langkah itu bagi mengekang kegiatan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai petugas rasmi untuk melakukan kecurian kabel serta vandalisme infrastruktur komunikasi.

Berdasarkan rekod kementerian, beliau berkata sebanyak 9,431 insiden kecurian dan kerosakan infrastruktur komunikasi melibatkan 10 penyedia perkhidmatan direkodkan bagi tempoh pertengahan 2025 hingga separuh pertama 2026.

Beliau menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai kesediaan kementerian memperkenalkan sistem pengesahan identiti digital atau kod QR yang boleh disemak orang awam bagi mengelakkan taktik penyamaran menggunakan pakaian seragam serta kenderaan menyerupai petugas rasmi.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.