Ibu bapa sokong had umur media sosial, namun akses pembelajaran perlu kekal

3 Jun 2026, 7:00 AM
Ibu bapa sokong had umur media sosial, namun akses pembelajaran perlu kekal

SHAH ALAM, 3 JUN: Ibu bapa menyokong pelaksanaan pengesahan umur bagi penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak, namun mahu akses kepada platform pembelajaran digital terus dikekalkan.

Bapa kepada dua anak, Ezaiuddin Zailani, 36, berkata langkah berkenaan wajar dilaksanakan memandangkan media sosial mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai risiko serta kandungan yang tidak sesuai.

“Media sosial sangat terbuka dan kadang-kadang keadaan sekarang seolah-olah sudah sukar dikawal. Jadi, saya rasa langkah kerajaan ini baik kerana usia 16 tahun boleh dianggap lebih matang untuk menggunakan media sosial.

Ezaiuddin Zailani

“Namun, platform seperti YouTube juga boleh membantu proses pembelajaran dan perkembangan pertuturan kanak-kanak. Sebab itu penggunaannya perlu dipantau, bukannya dihalang sepenuhnya,” katanya kepada Media Selangor.

Ezaiuddin berkata dua anaknya yang berusia lima dan tujuh tahun hanya dibenarkan mengakses YouTube Kids menggunakan akaun yang dikawal ibu bapa.

Sementara itu, suri rumah Nik Hazlinawati Nik Hashim, 39, menyifatkan penguatkuasaan lebih ketat sebagai langkah tepat berikutan lambakan kandungan media sosial yang semakin membimbangkan.

Nik Hazlinawati Nik Hashim

“Media sosial memang berisiko kepada kanak-kanak kerana kandungannya terlalu terbuka. Jadi, pengesahan umur ini adalah langkah yang baik supaya mereka tidak terlalu bebas mengakses pelbagai kandungan.

“Pada masa sama, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dan tidak bergantung kepada pihak luar semata-mata. Saya sendiri hanya membenarkan anak menggunakan gajet pada hujung minggu dan mereka sudah memahami peraturan itu,” katanya.

Bagi Noraida Ismail, 35, usaha meningkatkan keselamatan dalam talian perlu disokong, namun akses kepada platform tertentu masih penting sebagai sumber pembelajaran.

Noraida Ismail

“YouTube kadang-kadang diperlukan sebagai rujukan pembelajaran anak-anak. Bagi saya, mereka tidak perlu mempunyai akaun media sosial sendiri kerana ibu bapa boleh memantau penggunaan melalui akaun milik mereka.

“Walaupun kerajaan memperketatkan peraturan, peranan ibu bapa tetap menjadi faktor paling penting dalam memastikan keselamatan kanak-kanak di alam digital,” katanya.

Bermula 1 Jun, Malaysia menguatkuasakan syarat pengesahan umur untuk pendaftaran dan pembukaan akaun media sosial bagi memastikan individu di bawah umur 16 tahun tidak lagi dibenarkan membuka akaun media sosial.

Menerusi peraturan baharu itu, pengguna yang ingin mendaftar akaun diwajibkan mengemukakan dokumen pengenalan rasmi yang dikeluarkan kerajaan seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID sebagai pengesahan umur.

Bagi pengguna sedia ada, pengesahan umur akan dilaksanakan secara progresif dalam tempoh sehingga enam bulan oleh pemberi perkhidmatan media sosial yang berkaitan.

SKMM memaklumkan dalam tempoh itu, pengguna sedia ada yang dikenal pasti berumur di bawah 16 tahun akan diberikan satu bulan untuk memuat turun atau memindahkan data mereka, termasuk gambar dan video, sebelum sebarang sekatan, penggantungan atau tindakan lain dikenakan oleh penyedia perkhidmatan media sosial yang berkaitan.

Keperluan pengesahan umur itu terpakai kepada perkhidmatan media sosial berlesen termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.