Penerima STR, SARA harap kadar bantuan dinaikkan dalam Belanjawan 2027

21 Jul 2026, 9:00 AM
Penerima STR, SARA harap kadar bantuan dinaikkan dalam Belanjawan 2027
Penerima STR, SARA harap kadar bantuan dinaikkan dalam Belanjawan 2027

SHAH ALAM, 21 JULAI: Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berharap kadar bantuan ditingkatkan dalam Belanjawan 2027 bagi membantu mereka berdepan peningkatan kos sara hidup.

Tinjauan Media Selangor mendapati rata-rata penerima berpandangan pertambahan bantuan mampu mengurangkan tekanan perbelanjaan harian, khususnya bagi isi rumah berpendapatan rendah.

Bagi penghantar makanan Mohammad Shafiq Idris, 30, peningkatan bantuan walaupun kecil amat bermakna terutama kepada mereka yang bergantung kepada pendapatan ekonomi gig.

Penghantar makanan, Mohammad Shafiq Idris, 30, ditemui ketika tinjauan Media Selangor di sekitar Shah Alam pada 20 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

"Bagi saya memang patut dinaikkan sebab keadaan ekonomi sekarang agak sempit," katanya ketika ditemui Media Selangor.

Mohammad Shafiq yang juga bapa tunggal berkata perbelanjaan barangan dapur untuk dirinya dan seorang anak mencecah antara RM200 hingga RM300 sebulan.

"Tambahan RM100 pun sudah memberi impak dan dapat kurangkan beban," katanya.

Pelajar Siti Nurul Farhana Muhamad Nasir, 23, turut berharap kadar bantuan dinaikkan memandangkan harga makanan terus meningkat.

Pelajar, Siti Nurul Farhana Muhamad Nasir, 23, berkongsi pandangan mengenai harapannya ketika ditemui Media Selangor di Shah Alam pada 20 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

"Harga makanan sekarang pun sekitar RM10 hingga RM20 untuk sekali makan."

"Kalau boleh bantuan itu ditambah kerana bantuan sekali beri memang tidak mencukupi apabila harga barang terus meningkat," katanya.

Sementara itu, pekerja swasta Arsyad Kamalon Aripin, 24, berkata bantuan SARA banyak membantunya membeli barangan dapur sejak berpindah ke Shah Alam.

Namun beliau berharap penggunaannya diperluaskan ke lebih banyak pasar raya besar bagi memudahkan penerima mendapatkan barangan keperluan.

Pekerja swasta, Arsyad Kamalon Aripin, 24, berkongsi pengalaman menggunakan bantuan SARA ketika ditemui Media Selangor di Shah Alam pada 20 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

"Saya gunakan bantuan itu secara berperingkat untuk membeli barang dapur dan setakat ini jumlah bantuan yang diberi masih mencukupi bagi saya.

"Cuma kalau boleh, penggunaan SARA diperluaskan ke lebih banyak pasar raya besar kerana itu lebih dekat dengan tempat tinggal," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan MADANI akan terus memperhalusi kemungkinan menambah jumlah bantuan STR dan SARA jika keadaan ekonomi negara mengizinkan.

Menurut beliau, perkara itu telah dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican dan akan dipertimbangkan dalam pembentangan Belanjawan 2027 kelak.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.