RM3.6 bilion bantuan SARA disalur setakat 22 Oktober

29 Okt 2026, 3:01 PM
RM3.6 bilion bantuan SARA disalur setakat 22 Oktober

SHAH ALAM, 29 OKT: Sebanyak RM3.6 bilion bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disalurkan kepada penerima menerusi tiga fasa pembayaran setakat 22 Oktober lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata jumlah keseluruhan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA yang disalurkan kepada penerima layak mencecah hampir RM12 bilion, lapor Berita Harian.

"Hampir sembilan juta penerima sudah menggunakan bantuan SARA dengan nilai transaksi RM6.1 bilion, bersamaan kadar penggunaan 99.7 peratus.

"Bagi program SARA Untuk Semua pula, lebih 20 juta penerima sudah memanfaatkan bantuan berkenaan, dengan nilai transaksi RM1.9 bilion atau kadar penggunaan 92 peratus," katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah berkata, kemudahan SARA ketika ini merangkumi 15 kategori barangan membabitkan kira-kira 140,000 produk bagi memenuhi keperluan penerima.

Beliau berkata, kerajaan turut merancang memperluaskan skop penggunaan SARA mulai 2027 dengan membolehkan bantuan itu digunakan bagi membeli barangan basah dan segar di 216 pasar tani serta tamu di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Rakan niaga SARA kini mencecah hampir 15,000 premis berbanding hanya 700 premis pada 2024.

"Hampir 7,000 premis adalah kedai runcit kecil dan koperasi.

"Program SARA turut memberikan limpahan ekonomi yang meluas kepada ekonomi tempatan," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.