Belanjawan 2027: BKK RM1,500, SARA RM100 hadiah 70 tahun merdeka

11 Okt 2026, 2:38 AM
Belanjawan 2027: BKK RM1,500, SARA RM100 hadiah 70 tahun merdeka

PUTRAJAYA, 11 OKT: Pembayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) MADANI bersempena dengan ulang tahun ke-70 kemerdekaan negara tahun depan merupakan simbol penghargaan kerajaan terhadap sumbangan rakyat dalam pembangunan Malaysia sejak merdeka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tujuh dasawarsa itu membawa makna tersendiri kerana kemerdekaan itu sendiri merupakan hadiah buat rakyat.

“Tujuh dasawarsa itu sempena merdeka … hadiah buat rakyat,” katanya kepada Bernama ketika ditanya tentang simbolik tujuh dasawarsa kemerdekaan yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat lepas.

Menerusi belanjawan berkenaan, kerajaan bersetuju menyalurkan BKK sebanyak RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam daripada Gred Utama B dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak.

Bantuan sebanyak RM750 turut diberikan kepada lebih sejuta pesara kerajaan, termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pembayaran BKK itu akan dilaksanakan sebanyak dua kali, iaitu sebelum sambutan Aidilfitri dan bersempena dengan ambang tujuh dasawarsa kemerdekaan.

Selain itu, rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang bukan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima SARA MADANI sebanyak RM100 bagi setiap pembayaran, yang turut disalurkan dua kali.

Pemberian bantuan itu mencerminkan usaha kerajaan untuk memastikan manfaat pembangunan negara dapat dirasai rakyat, selain menghargai sumbangan penjawat awam, pesara dan masyarakat secara keseluruhan sepanjang perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka.

Malaysia bakal menyambut ulang tahun ke-70 kemerdekaan pada 2027, menandakan tujuh dasawarsa perjalanan negara dalam membina kemajuan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Istilah dasawarsa bermaksud jangka masa 10 tahun atau dekad; tujuh dasawarsa bermakna 70 tahun.

Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” dibentangkan Anwar di Dewan Rakyat pada Jumaat dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion, ditambah dengan RM25 bilion pelaburan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC); sebanyak RM11 bilion pelaburan awam-swasta; dan RM14.2 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).

Ini menjadikan keseluruhan Belanjawan 2027 meneruskan dasar fiskal mengembang sebanyak RM510 bilion.

Belanjawan MADANI Kelima itu bertujuan menterjemahkan pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan kepada manfaat nyata untuk rakyat melalui gaji yang lebih baik, sokongan bersasar yang lebih cekap, disiplin fiskal yang lebih kukuh dan langkah agresif ke arah industri bernilai lebih tinggi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.