90 peratus pembeli Rumah Selangorku adalah golongan muda

21 Jul 2026, 3:00 AM
90 peratus pembeli Rumah Selangorku adalah golongan muda
90 peratus pembeli Rumah Selangorku adalah golongan muda

SHAH ALAM, 21 Julai: Golongan muda mendominasi pembelian rumah pertama di Selangor berikutan hampir 90 peratus permohonan Rumah Selangorku sejak 2018 hingga April tahun ini.

Ketua Unit Penawaran dan Pemasaran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) Mohd Azuan Sharani berkata pembeli terdiri dalam kalangan individu berusia 18 hingga 40 tahun.

Beliau memberitahu data LPHS menunjukkan sebanyak 56 peratus pemohon berumur 18 hingga 29 tahun manakala 35 peratus lagi berusia 30 hingga 40 tahun.

“Trend ini membuktikan Rumah Selangorku kekal menjadi pilihan utama anak muda yang ingin memiliki kediaman sendiri meski berdepan cabaran kos sara hidup dan pembiayaan perumahan.

“Sekitar 90 peratus pembeli rumah pertama adalah golongan muda. Ini menunjukkan minat golongan ini untuk memiliki rumah sebenarnya tinggi,” katanya kepada Media Selangor.

Fakta Harga Rumah Selangorku. GRAFIK AZWA MALEK

Mohd Azuan berkata permintaan tertinggi adalah Rumah Selangorku kategori B, C, D dan E yang menawarkan keluasan 700 hingga 1,000 kaki persegi yang kebanyakan unit ada tiga bilik tidur.

Beliau menjelaskan kategori tersebut dipercayai menjadi pilihan kerana unit itu menawarkan ruang lebih luas dan memenuhi keperluan pasangan muda dan keluarga yang sedang berkembang.

Berdasarkan kajian LPHS, katanya, faktor lokasi antara pertimbangan utama pembeli ketika memilih kediaman, diikuti keluasan rumah, kemampuan kewangan dan kemudahan yang disediakan.

Namun, beliau mengakui cabaran utama golongan muda untuk memiliki rumah bukan disebabkan kurang minat, sebaliknya berkait rapat dengan akses pembiayaan dan kemampuan kewangan.

Menurutnya, sebahagian pemohon gagal memperoleh pinjaman bank manakala ada yang kurang yakin untuk membuat permohonan pembiayaan walaupun berhasrat membeli rumah.

Justeru, Kerajaan Negeri menerusi LPHS memperkenal Skim Smart Sewa bagi membantu golongan berkenaan menyediakan cengkeram atau pendahulu pembelian rumah.

Penyewa boleh mendiami Rumah Selangorku maksimum lima tahun dan menerima pulangan 30 peratus daripada jumlah bayaran sewa sebagai pendahulu apabila membeli rumah pada masa depan.

LPHS juga memperkukuh Skim “Rent To Own” yang menyasarkan golongan yang tidak melepasi syarat pinjaman bank dengan sasaran menyediakan 3,000 unit menjelang 2030.

Beliau percaya inisiatif berkenaan diharap dapat membantu lebih ramai anak muda merealisasikan impian memiliki rumah pertama di Selangor.

Kelayakan Mohon Rumah Selangorku. GRAFIK AZWA MALEK

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.