Kesihatan mental pelajar perlu diberi perhatian, elak tragedi berulang

21 Jul 2026, 4:00 AM
Kesihatan mental pelajar perlu diberi perhatian, elak tragedi berulang
Kesihatan mental pelajar perlu diberi perhatian, elak tragedi berulang
Kesihatan mental pelajar perlu diberi perhatian, elak tragedi berulang

SHAH ALAM, 21 JULAI: Kesihatan mental dalam kalangan pelajar perlu diberi perhatian serius oleh ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kes yang berlaku di Banting.

Pakar psikologi Dr Lavanya Pillai berkata, kehidupan pelajar hari ini jauh berbeza berbanding generasi terdahulu apabila mereka berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan akademik, harapan ibu bapa dan pengaruh media sosial.

Menurut beliau, tekanan daripada pelbagai faktor itu boleh memberi kesan besar terhadap kesejahteraan mental pelajar sekiranya tidak ditangani dengan baik.

"Kalau dulu, cabaran pelajar tidak sama seperti sekarang. Hari ini mereka bukan sahaja perlu belajar bersungguh-sungguh, tetapi pada masa sama mereka berdepan dengan tekanan ibu bapa, sekolah dan juga media sosial. Semua ini boleh memberi kesan kepada kesihatan mental mereka," katanya.

Beliau berkata, masih ramai ibu bapa kurang menyedari bahawa kesihatan mental juga memainkan peranan penting dalam perkembangan anak-anak.

"Ramai ibu bapa masih fikir kalau anak nampak sihat, semuanya okey. Sebenarnya kesihatan mental juga sama penting. Kalau anak tertekan, ia boleh menjejaskan emosi, tingkah laku dan prestasi mereka di sekolah," katanya.

Menurut beliau, ibu bapa juga perlu mengelakkan sikap membandingkan anak dengan orang lain kerana setiap anak mempunyai kebolehan dan potensi berbeza.

"Jangan bandingkan anak kita dengan anak orang lain. Setiap anak ada kelebihan masing-masing. Bila selalu dibandingkan, mereka akan rasa tidak cukup baik dan akhirnya memberi tekanan kepada diri sendiri," jelasnya.

Dr Lavanya berkata, tekanan yang berpanjangan boleh menyebabkan pelajar mengambil tindakan di luar jangkaan sehingga membawa kepada kejadian tidak diingini, seperti yang pernah berlaku dalam kes di Banting.

Pakar Psikologi Dr Lavanya Pillaiketika ditemui di pejabat Media Selangor di Shah Alam pada 30 Jun 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa supaya sentiasa memantau perkembangan anak-anak, termasuk penggunaan media sosial.

"Ibu bapa kena lebih peka. Cuba perhatikan kalau anak tiba-tiba jadi pendiam, cepat marah, hilang minat belajar atau suka mengasingkan diri. Jangan anggap itu perkara biasa. Beri perhatian dan dapatkan bantuan secepat mungkin," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kesibukan bekerja tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan hubungan dengan anak-anak.

"Walaupun sibuk bekerja, luangkan masa untuk berbual dengan anak setiap hari. Kadang-kadang mereka bukan perlukan nasihat yang panjang, mereka cuma perlukan seseorang yang sudi mendengar," katanya.

Menurut beliau, komunikasi yang sihat dalam keluarga dapat membantu anak-anak berasa lebih selamat untuk berkongsi masalah yang dihadapi.

"Kalau hubungan dengan ibu bapa rapat, anak-anak akan lebih selesa bercerita apabila ada masalah. Jadi ibu bapa boleh bantu lebih awal sebelum keadaan menjadi semakin serius.

"Bila ibu bapa terlalu sibuk, anak-anak akan rasa keseorangan. Mereka tetap perlukan seseorang untuk bercakap dan berkongsi apa yang mereka rasa.

"Kalau mereka tak dapat perhatian di rumah, mereka akan mula mencari orang lain untuk berkomunikasi, termasuk di media sosial.

"Malangnya, bukan semua orang di media sosial mempunyai niat baik. Ada yang boleh mempengaruhi mereka ke arah perkara negatif atau mengambil kesempatan atas keadaan mereka," katanya.

Selain ibu bapa, pihak sekolah juga memainkan peranan penting dalam menjaga kesejahteraan mental pelajar.

"Guru perlu peka terhadap perubahan tingkah laku pelajar. Kalau nampak ada murid sering menyendiri, menjadi mangsa buli atau menunjukkan perubahan sikap ketara, segera rujuk kepada guru bimbingan dan kaunseling supaya bantuan awal dapat diberikan," katanya.

Mengulas mengenai pelajar yang mengalami tekanan mental tetapi takut untuk berkongsi masalah, Dr Lawanyah menasihatkan mereka supaya mendapatkan bantuan daripada individu yang dipercayai.

"Jangan simpan seorang diri dan jangan jadikan media sosial sebagai tempat utama untuk meluahkan masalah.

"Lebih baik bercakap dengan ibu bapa, guru, adik-beradik, pakar psikologi atau hubungi talian bantuan kesihatan mental. Mereka mampu membantu dan memberi sokongan yang betul," katanya.

Beliau berkata, mendapatkan bantuan sejak awal mampu membantu pelajar mengurangkan tekanan, mengawal emosi serta meningkatkan tumpuan, fokus dan prestasi dalam pembelajaran.

"Tiada siapa perlu menghadapi masalah ini seorang diri. Sentiasa ada orang yang sedia mendengar dan membantu. Yang penting, beranikan diri untuk bercakap dan mendapatkan bantuan," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.