Tiga suspek dibebaskan dengan jaminan, polis terus siasat kes buli pelajar

20 Jul 2026, 4:35 AM
Tiga suspek dibebaskan dengan jaminan, polis terus siasat kes buli pelajar

KANGAR, 20 JULAI: Polis masih meneruskan siasatan kes tiga pelajar lelaki tingkatan satu sebuah sekolah menengah di sini yang disyaki membuli seorang pelajar lelaki sebaya sehingga mendatangkan kecederaan meskipun ketiga-tiga mereka dilepaskan dengan jaminan polis petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata tiga pelajar lelaki itu yang direman dari Sabtu lalu hingga semalam itu bagi membantu siasatan kes berkenaan dilepaskan jam 6 petang.

"Siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan," katanya ringkas dalam kenyataan hari ini.

Pada 18 Julai polis menahan tiga pelajar lelaki tersebut kerana disyaki membuli pelajar lelaki sebaya mereka itu sehingga mendatangkan kecederaan pada Khamis lalu.

Yusharifuddin dipetik sebagai berkata pihak polis menerima laporan berhubung kejadian dipercayai membuli itu pada 11.27 malam, Khamis, dengan mangsa mengalami keretakan pada bahagian buku lali kiri manakala kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan.

Sementara itu, semalam Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis dalam satu kenyataan memaklumkan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku buli di institusi pendidikan dan tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.