Sorakan Piala Dunia berakhir, Dataran Merdeka dipenuhi sampah

20 Jul 2026, 3:44 AM
Sorakan Piala Dunia berakhir, Dataran Merdeka dipenuhi sampah
Sorakan Piala Dunia berakhir, Dataran Merdeka dipenuhi sampah
Sorakan Piala Dunia berakhir, Dataran Merdeka dipenuhi sampah

SHAH ALAM, 20 JULAI: Dataran Merdeka yang menjadi lokasi siaran perlawanan akhir Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina awal pagi tadi, dipenuhi sampah yang ditinggalkan pengunjung selepas acara berakhir.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan padang bersejarah itu ditinggalkan dalam keadaan kotor dengan pelbagai sisa sampah bertaburan di sekitar kawasan berkenaan.

"Awal pagi tadi, ribuan orang berhimpun untuk bersorak, meraikan bola sepak dan berkongsi kegembiraan. Namun apabila sorakan berakhir, padang bersejarah ini ditinggalkan dalam keadaan dipenuhi sampah sarap.

"DBKL akan membersihkannya. Petugas kami akan turun mengutip apa yang ditinggalkan, tetapi kebersihan Kuala Lumpur tidak seharusnya sentiasa bergantung kepada orang lain yang datang membersihkan selepas kita pulang," katanya menerusi hantaran di Facebook

DBKL turut mengingatkan bahawa Dataran Merdeka ialah lokasi yang melambangkan maruah dan sejarah negara, justeru cara orang ramai meninggalkan kawasan itu mencerminkan tahap penghargaan terhadapnya.

"Kita boleh meraikan dengan meriah. Kita boleh bersorak sepuasnya, tetapi kebebasan untuk bergembira tidak pernah bermaksud kebebasan untuk mengotorkan ruang milik bersama.

"Kota yang hebat bukan hanya dinilai ketika orang ramai datang, tetapi melalui keadaan yang mereka tinggalkan apabila pulang," katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, menerusi Facebook turut meluahkan kekecewaan terhadap sikap segelintir pengunjung yang meninggalkan sampah di lokasi berkenaan.

"Terima kasih kepada pasukan DBKL yang segera turun membersihkan kawasan ini. Ketika orang ramai sudah pulang, mereka masih bekerja untuk mengembalikan kebersihan dan keselesaan Dataran Merdeka.

"Ya, saya tahu setiap pembayar cukai berhak mendapat perkhidmatan yang baik. DBKL mesti menjalankan tanggungjawabnya dan mereka melakukannya. Tetapi membuang sampah ke dalam tong merupakan perkara asas yang sepatutnya kita lakukan sendiri.

"Hak untuk menerima perkhidmatan tidak bermaksud semua tanggungjawab boleh diserahkan kepada petugas awam. Mereka tidak sepatutnya terpaksa membersihkan sampah yang sengaja kita tinggalkan," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.