JOHOR BAHRU: Polis menahan 12 lelaki berusia 15 hingga 38 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan ketika menonton perlawanan akhir Piala Dunia, di restoran di Taman Daya, di sini awal pagi tadi.
Terdahulu, tular video berdurasi 37 saat di media sosial memaparkan pergaduhan dan tindakan agresif membaling kerusi membabitkan beberapa pelanggan di restoran.
Berdasarkan ruangan komen di media sosial, kejadian berlaku selepas tamat perlawanan akhir Piala Dunia membabitkan pasukan Sepanyol dan Argentina.
Bagaimanapun setakat ini tidak dapat dipastikan punca sebenar kejadian, namun ia dipercayai berkaitan provokasi kedua-dua kumpulan penyokong pasukan bola sepak berkenaan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira jam 5.40 pagi sebelum pasukan Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menjalankan operasi dan menahan kesemua suspek di Taman Setia Indah, dekat antara jam 10 pagi hingga 11 pagi hari ini.
"Pada jam 10 pagi tadi, polis telah mengesan satu video tular dimuat naik di Facebook oleh pemilik akaun 'Lion Wong' dalam kumpulan 'Kita Orang Pahang' yang memaparkan kejadian pergaduhan terbabit.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ab Rahaman berkata, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati tiga daripada 12 suspek mempunyai rekod jenayah dan permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat di Mahkamah Johor Bahru esok mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.
"Setakat ini, motif atau punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran, Hotline Polis Johor di 019-2792095 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di 07-2212999.







