Ribuan meriahkan Final Piala Dunia di Aneka Walk

21 Jul 2026, 5:11 AM
Ribuan meriahkan Final Piala Dunia di Aneka Walk
Ribuan meriahkan Final Piala Dunia di Aneka Walk
Ribuan meriahkan Final Piala Dunia di Aneka Walk
Ribuan meriahkan Final Piala Dunia di Aneka Walk
Ribuan meriahkan Final Piala Dunia di Aneka Walk

SHAH ALAM, 21 JUL: Aneka Walk, Seksyen 14 menjadi tumpuan kira-kira 1,500 peminat bola sepak yang hadir menyaksikan tayangan akhir Piala Dunia FIFA 2026 menerusi PKNS Homes Final World Cup 2026 Mega Live.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula jam 5 petang pada 19 Julai hingga 5 pagi keesokan harinya itu bukan sahaja menampilkan tayangan perlawanan akhir menerusi skrin LED gergasi, malah turut dipenuhi pelbagai aktiviti kekeluargaan, hiburan dan keusahawanan.

Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran PKNS, Fadli Mohd Ariff berkata, program berkenaan merupakan kemuncak kepada pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang musim Piala Dunia FIFA 2026.

Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran PKNS, Fadli Mohd Ariff dalam PKNS Homes Final World Cup 2026 Mega Live di Aneka Walk, Seksyen 14, Shah Alam pada 19 Julai 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Sejak awal program lagi, kami telah menyusun pelbagai aktiviti bagi memastikan pengunjung daripada semua lapisan umur dapat menikmati pengalaman yang menyeronokkan. Kemuncaknya sudah tentu tayangan perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 menerusi skrin LED gergasi yang dilengkapi sistem siar raya bagi mewujudkan suasana yang lebih meriah.

“Bagi memastikan keselesaan pengunjung, kami turut menyediakan kemudahan bean bag, selain konsep pengudaraan terbuka di Aneka Walk yang membolehkan orang ramai menikmati tayangan dalam suasana lebih santai dan selesa. 

“Kami juga menyediakan hidangan mee mamak dan teh tarik, manakala pelbagai pilihan makanan dan minuman daripada pengusaha kenderaan saji melengkapkan lagi pengalaman pengunjung,” katanya.

Sepanjang program berlangsung, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan mewarna dan melukis kanak-kanak, festival bola sepak, pertandingan e-sukan, permainan interaktif, cabutan bertuah, jualan car boot sale serta pameran projek-projek perumahan PKNS seperti Aludra Residensi, Ixora, Linkar 52 dan Puteri Ariana.

Pemain bola sepak Selangor melawat ke tapak pameran ketika hadir dalam PKNS Homes Final World Cup 2026 Mega Live di Aneka Walk, Seksyen 14, Shah Alam pada 19 Julai 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Program yang diadakan dengan kerjasama Selangor FC itu turut dimeriahkan dengan sesi ramah mesra bersama barisan pemain pasukan berkenaan termasuk Safuwan Baharudin, Eduardo Sosa, Adib Ra'op, Alexander Agyarkwa, Syahir Bashah, Zikri Khalili serta Sikh Izhan, sekali gus memberi peluang kepada penyokong mendapatkan tanda tangan dan bergambar bersama pemain kegemaran mereka.

Menurut Fadli, PKNS turut mengambil peluang memanfaatkan fenomena Piala Dunia FIFA 2026 bagi menarik lebih ramai pengunjung ke siri Hari Terbuka PKNS yang diadakan di Aneka Walk dan Kota Puteri, sekali gus mempromosikan projek-projek perumahan kepada orang ramai.

“Sebagai pemaju hartanah, fokus utama kami adalah mempromosikan projek-projek perumahan dan komersial. Bersempena kemeriahan Piala Dunia FIFA 2026, kami menggabungkan elemen sukan dengan aktiviti jualan supaya lebih ramai orang hadir ke Hari Terbuka PKNS dan menikmati pengalaman yang berbeza,” katanya.

Aktiviti yang diadakan ketika PKNS Homes Final World Cup 2026 Mega Live di Aneka Walk, Seksyen 14, Shah Alam pada 19 Julai 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau berkata, pemilihan Aneka Walk sebagai lokasi penganjuran turut mencerminkan usaha PKNS menghidupkan kawasan itu sebagai hab komuniti di bawah pembangunan SA Sentral.

“Kami mahu Aneka Walk dikenali bukan sahaja oleh warga Shah Alam, malah masyarakat dari kawasan sekitar seperti Klang dan Petaling Jaya. Melalui penganjuran pelbagai acara berskala besar, kami berharap lokasi ini terus berkembang sebagai destinasi gaya hidup, rekreasi dan aktiviti komuniti,” katanya.

Sementara itu, pemain pertahanan Selangor FC, Safuwan Baharudin, menyifatkan program berkenaan sebagai platform terbaik untuk menyemarakkan semangat kesukanan dan mengeratkan hubungan masyarakat.

Menurutnya, sambutan yang diterima membuktikan sukan mampu menyatukan masyarakat daripada pelbagai lapisan usia dan inisiatif seperti itu wajar diperluaskan kepada acara sukan lain, khususnya menjelang penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2026 di Selangor.

“Kehadiran pengunjung daripada pelbagai peringkat usia menunjukkan sukan mampu menyatukan masyarakat. Program seperti ini boleh diperluaskan lagi kepada acara-acara sukan lain,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.