KPMS lancar Rumah Ngaji perkasa pembelajaran al-Quran generasi muda

19 Jul 2026, 1:30 PM
KPMS lancar Rumah Ngaji perkasa pembelajaran al-Quran generasi muda
KPMS lancar Rumah Ngaji perkasa pembelajaran al-Quran generasi muda

SHAH ALAM, 19 JULAI: Kelab Pesara Muslimah Selangor (KPMS) melancarkan Rumah Ngaji bagi memperluas pembelajaran al-Quran secara fizikal dan digital, sekali gus memperkasakan peranan golongan pesara dalam menyampaikan ilmu kepada generasi muda.

Yang Dipertuanya, Latiffah Sidek berkata inisiatif itu bukan sahaja memberi manfaat kepada ahli kelab, malah membuka peluang kepada anak, cucu dan waris mendalami al-Quran di bawah bimbingan pesara yang berpengalaman.

Pengasas dan YDP KPMS, Latiffah Sidek berucap semasa Majlis Hi-Tea Hari Pesara 2026 di Kelab Shah Alam pada 19 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

“Rumah Ngaji ini dibuat secara fizikal dan juga secara dalam talian. Insya-Allah kita berusaha membantu waris, anak cucu mempelajari serta mendalami ilmu pengajian al-Quran.

“Buat masa ini kita mengutamakan ahli, tetapi dalam kalangan ahli itu sendiri ada keluarga. Kita akan bimbing anak cucu kerana tidak mahu mengetepikan mereka, malah penduduk sekitar juga boleh turut sama menyertainya, kita akan teliti kaedahnya kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Hi-Tea Kelab Pesara Muslimah Selangor (KPMS) sempena Hari Pesara 2026, di Kelab Shah Alam, di sini, hari ini.

Sesi Pelancaran Rumah Ngaji KPMS semasa Majlis Hi-Tea Hari Pesara 2026 di Kelab Shah Alam pada 19 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Terdahulu, pelancaran Rumah Ngaji disempurnakan oleh Mantan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Dato' Seri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Menurut Latiffah, penubuhan Rumah Ngaji seiring dengan hasrat KPMS untuk memastikan pesara terus menyumbang kepada masyarakat melalui perkongsian ilmu, pengalaman dan kepakaran yang dimiliki.

“Ramai pesara mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan, komunikasi, agama, seni dan kebajikan. Kita mahu gunakan semula pengalaman ini untuk membantu masyarakat.

“Kita tidak mahu ilmu dan pengalaman yang ada dibazirkan begitu sahaja. Sebaliknya, ia perlu dimanfaatkan serta dihadiahkan secara sukarela kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata KPMS yang ditubuhkan pada 1 Oktober 2020 dengan hanya tiga ahli ketika itu kini sudah menghampiri 900 ahli, sekali gus mencerminkan keyakinan pesara terhadap peranan kelab berkenaan.

Pengasas dan YDP KPMS, Latiffah Sidek bercakap kepada media ketika Majlis Hi-Tea Hari Pesara 2026 di Kelab Shah Alam pada 19 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Katanya, KPMS yang menyasarkan untuk menjadi kelab pesara muslimah terunggul di Malaysia terus mempergiat usaha menarik lebih ramai ahli menerusi program turun padang di sembilan daerah di Selangor.

“Alhamdulillah, keahlian terus bertambah. Kita akan terus memperkenalkan KPMS kepada pesara di seluruh negeri supaya lebih ramai dapat bersama-sama menyumbang bakti kepada masyarakat walaupun sudah bersara.

“Kita mengalu-alukan pesara yang pernah berkhidmat di Selangor tetapi sudah berpindah atau kembali ke kampung asal mereka untuk sertai kelab ini, kita kongsikan pengalaman yang ada dan kekal aktif,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.