Rahsia negara aman, harmoni

18 Sep 2026, 3:00 AM
Rahsia negara aman, harmoni

Malaysia berdiri megah di persada dunia sebagai sebuah negara majmuk yang unik. Keharmonian yang dinikmati oleh masyarakat berbilang bangsa seperti Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Iban, dan pelbagai etnik lain bukanlah satu kebetulan, sebaliknya dibina atas asas kesabaran, toleransi, dan semangat muhibah yang mendalam.

Dalam konteks Malaysia, perpaduan rentas kaum adalah nadi yang menghidupkan kestabilan politik, kemajuan ekonomi, dan kesejahteraan sosial.

Islam sebagai sebuah cara hidup (ad-din) mementingkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan manusia, tanpa mengira warna kulit, keturunan, atau latar belakang budaya.

Panduan al-Quran, sunnah Rasulullah SAW, serta teladan daripada para sahabat memberi pelan tindakan yang jelas tentang bagaimana masyarakat majmuk dapat hidup bersama dalam aman dan damai.

Al-Quran melihat kepelbagaian kaum dan bangsa bukan sebagai punca permusuhan tetapi suatu ketetapan Ilahi yang mengandungi hikmah yang besar. Manusia dicipta berbilang-bilang bangsa agar mereka saling mengenali, menghormati, dan melengkapi antara satu sama lain. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 13:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kalian berbagai bangsa dan bersuku-suku supaya kalian berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kalian di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kalian. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.” - (Surah al-Hujurat: 13)

Ayat ini jelas membataskan ukuran kemuliaan seseorang di sisi Allah bukan pada bangsa, keturunan atau warna kulit melainkan pada tahap ketakwaannya. Dalam konteks Malaysia, semangat ayat ini menuntut setiap warganegara untuk saling mengenali budaya, adat resam dan kepercayaan kaum lain.

Pengenalan ini akan melahirkan rasa hormat yang tulen dan menepis jauh sifat assabiyah (taasub kepada kaum sendiri) yang boleh meruntuhkan keharmonian negara.

Apabila membincangkan perpaduan rentas kaum dan agama, rujukan utama yang paling tepat ialah tindakan strategik Nabi Muhammad SAW ketika hijrah ke Yathrib (Madinah). Baginda berdepan dengan sebuah masyarakat yang berpecah belah, terdiri pelbagai kabilah Arab yang sering berbalah (Aus dan Khazraj) serta komuniti Yahudi pelbagai puak.

Baginda SAW memperkenal Piagam Madinah (Sahifah Madinah) iaitu perlembagaan bertulis pertama di dunia yang menyatukan seluruh penduduk Madinah tanpa mengira latar belakang agama dan keturunan.

Kibaran Jalur Gemilang

Melalui piagam ini, Baginda menetapkan umat Islam dan bukan Islam adalah satu ummah (masyarakat) yang mempunyai hak sama dalam mempertahan keselamatan dan kesejahteraan bandar Madinah.

Sabda Rasulullah SAW mengenai pentingnya menjaga hak jiran dan masyarakat pelbagai latar belakang: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah dia menyakiti jirannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di Malaysia, konsep jiran tetangga ini merentasi sempadan kaum. Rumah terbuka sempena perayaan Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Gawai, dan Keamatan adalah manifestasi moden kepada semangat kejiranan yang ditekankan oleh Baginda SAW. Ia bukan sekadar majlis sosial, tetapi jambatan yang mengeratkan silaturahim rentas kaum.

Keadilan dan kasih sayang

Generasi sahabat turut menterjemah ajaran Islam dalam pentadbiran dan kehidupan seharian yang bersifat inklusif. Kisah Saidina Umar al-Khattab ketika menjadi Khalifah adalah lambang tertinggi keadilan sosial rentas kaum dan agama.

Ketika beliau melawat Palestin, tiba waktu solat lalu beliau didatangi pendeta Kristian, Patriark Sophronius, yang memperawai tempat solat di dalam Gereja Holy Sepulchre. Umar menolak secara baik kerana bimbang tindakan itu dijadikan alasan oleh umat Islam terkemudian untuk merampas gereja tersebut lalu mengubahnya menjadi masjid.

Beliau memilih solat di luar gereja tersebut. Tindakan ini mencerminkan sikap hormat-menghormati yang tinggi terhadap hak penganut agama lain.

Malah, dalam sebuah riwayat terkenal, Saidina Umar pernah menegur keras gabenornya di Mesir, Amru bin al-As dan anak gabenor tersebut yang bertindak zalim terhadap seorang rakyat biasa berbangsa Qibti (bukan Islam).

Kata-kata keramat Saidina Umar kepada Amru bin al-As merakam keadilan universal Islam:

“Sejak bilakah kamu memperhambakan manusia, padahal ibu mereka melahirkan mereka dalam keadaan merdeka?”

Peristiwa ini mengajar masyarakat Malaysia bahawa keadilan dan perlindungan hak asasi mesti diberi kepada semua warganegara tanpa mengira kaum atau status sosial. Keadilan perisai terkuat yang menjamin kesetiaan rakyat pelbagai kaum terhadap tanah air tercinta.

Walaupun Malaysia menikmati keamanan selama lebih enam dekad, perpaduan rentas kaum tidak boleh dibiarkan bergerak secara ‘autopilot’. Ia memerlukan usaha berterusan, kepekaan yang tinggi, dan komitmen daripada semua pihak.

Satu daripadanya pendidikan interaktif. Integrasinya perlu bermula di bangku sekolah. Interaksi antara murid pelbagai kaum melalui kokurikulum dan sukan memupuk persefahaman sejak kecil.

Selain itu, perlu kepada komunikasi berhemah. Hal ini kerana, dalam era digital, media sosial menjadi medan persekolahan sentimen perkauman.

Sikap bertabayyun (menyelidik kebenaran) perlu diamal sebelum menyebar sebarang maklumat agar ia tidak mencetuskan ketegangan kaum.

Perpaduan rentas kaum di Malaysia aset paling bernilai yang harus dipelihara dengan air mata pengorbanan dan kebijaksanaan. Wahyu Ilahi, sunnah Rasulullah SAW, serta sirah para sahabat memberi panduan jelas bahawa kepelbagaian bukanlah halangan untuk bersatu, sebaliknya ia kekuatan apabila diikat dengan nilai kasih sayang, keadilan, dan hormat-menghormati.

Kita memikul tanggungjawab moral untuk memastikan api perpecahan tidak sekali-kali membakar jambatan perpaduan yang telah lama kita bina.

Dengan menjadikan semangat al-Hujurat, Piagam Madinah, dan keadilan sahabat sebagai panduan hidup, Malaysia akan terus melangkah maju sebagai sebuah model negara majmuk yang harmoni, makmur dan dirahmati oleh Tuhan.

Kategoripendapat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.