SHAH ALAM, 20 JULAI: Persatuan pesara wajar terus diperkasa sebagai platform menghimpunkan golongan berpengalaman supaya kepakaran dan pengetahuan mereka terus dimanfaatkan demi kepentingan masyarakat.
Mantan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata persatuan seperti Kelab Pesara Muslimah Selangor (KPMS) memainkan peranan penting menghimpunkan bekas penjawat awam dan swasta yang memiliki pengalaman serta kepakaran dalam pelbagai bidang.
"Kita merasakan persatuan pesara ini sangat penting diadakan dan diteruskan kerana ahlinya terdiri daripada bekas kakitangan kerajaan dan swasta yang mempunyai banyak pengalaman.
"Kalau tiada persatuan untuk menghimpunkan mereka, segala pengalaman, kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki akan hilang begitu sahaja kerana tiada ruang untuk mereka terus menyumbang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Hi-Tea KPMS sempena Hari Pesara 2026 di Kelab Shah Alam di sini, semalam.
Abdul Aziz berkata usaha KPMS wajar terus disokong agar lebih ramai pesara dapat dihimpunkan, sekali gus memastikan pengalaman dan kepakaran mereka terus dimanfaatkan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan KPMS atas kejayaan menghimpunkan hampir 900 ahli yang kini aktif melaksanakan pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan.

Sementara itu, pesara pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Jaleha Adnan, 65, berkata persaraan bukan penghalang untuk terus aktif menyumbang kepada masyarakat.
Katanya, selepas menamatkan perkhidmatan ketika pandemik Covid-19, beliau aktif menyertai pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Saya memang aktif selepas bersara. Kalau duduk berehat sahaja, saya rasa badan cepat sakit. Sebab itu saya memilih untuk terus terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan," katanya.

Bagi pesara guru, Zuraida Zulkifli, 61, beliau memilih untuk terus aktif selepas bersara dengan mengusahakan perniagaan kecil-kecilan, selain membantu memasarkan produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta menyertai pelbagai program NGO.
"Saya memang tak reti duduk diam. Selain berniaga, saya suka berkongsi kemahiran dan menyumbang kepada masyarakat. Aktiviti seperti ini membuatkan kita lebih bertenaga.
"Nasihat saya kepada bakal pesara, bersedialah dari segi mental dan fizikal. Jangan apabila bersara terus berhenti melakukan aktiviti kerana ia boleh menyebabkan kita semakin lemah," katanya.








