WTE pertingkat pengurusan sisa Selangor, contohi Singapura dan Jepun

18 Jul 2026, 9:30 AM
WTE pertingkat pengurusan sisa Selangor, contohi Singapura dan Jepun

KUALA LANGAT, 18 JULAI: Teknologi sisa ke tenaga (WTE) menjadi antara pendekatan penting dalam memperkukuh sistem pengurusan sisa pepejal Selangor menerusi kaedah pelupusan yang lebih mampan dan mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan konvensional.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Dato' Wandi Yadzid Yaakob berkata pengurusan sisa yang berkesan perlu menggunakan pendekatan menyeluruh dengan menggabungkan pelbagai kaedah, termasuk pemanfaatan teknologi WTE.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Dato' Wandi Yadzid Yaakob bercakap kepada media selepas program Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2026 Peringkat Negeri Selangor di Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang, Kuala Langat pada 18 Jualai 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Sisa kepada tenaga (WTE) merupakan antara usaha terbaik untuk dilaksanakan di Selangor kerana pengurusan sisa tidak boleh bergantung kepada satu kaedah sahaja. Pendekatan yang pelbagai penting bagi memastikan sistem pengurusan sisa lebih mampan.

“Kita boleh mengambil contoh negara seperti Singapura dan Jepun yang menggabungkan teknologi WTE dengan kawalan pelepasan udara yang ketat. Pada masa sama, JAS akan terus memantau pelepasan asap bagi memastikan ia mematuhi piawaian ditetapkan,” katanya.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Dato' Wandi Yadzid Yaakob bersama penerima sijil penghargaan rakan strategik alam sekitar ketika program Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2026 Peringkat Negeri Selangor di Taman Rekreasi Paya Bakau Sijangkang, Kuala Langat pada 18 Jualai 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2026 Peringkat Selangor di Taman Rekreasi Paya Bakau, Sijangkang, di sini hari ini.

Mengulas kebimbangan terhadap pelepasan asap daripada loji WTE, Wandi berkata JAS Selangor akan melaksanakan pemantauan secara berterusan bagi memastikan pelepasan yang dihasilkan mematuhi piawaian alam sekitar ditetapkan.

Katanya, usaha memperkukuh pengurusan alam sekitar turut diperkasa menerusi kerjasama serta perjanjian di peringkat ASEAN dan antarabangsa melibatkan aspek pencemaran udara, pengurusan sisa toksik serta sumber air.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memotong riben sebagai simbolik Pembukaan Operasi Loji Sisa Ke Tenaga 1 (WTE) di Jeram Kuala Selangor pada 12 Jun 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan kekaguman terhadap pendekatan Singapura dalam pengurusan banjir, pembersihan sungai dan pembangunan alam sekitar lestari ketika menerima menghadap Presidennya, Tharman Shanmugaratnam pada 15 Julai lalu.

Baginda turut mencadangkan Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada pembangunan industri WTE sebagai pemacu masa hadapan dalam menangani cabaran pengurusan sisa dan keperluan tenaga lestari.

Dalam perkembangan berkaitan, Selangor mencipta sejarah apabila loji WTE pertama negeri dan terbesar di Asia Tenggara, Jeram 1, mula beroperasi secara rasmi pada 12 Mei lalu.

Loji berkenaan berkeupayaan mengurus 1,500 tan sisa pepejal sehari selain menjana tenaga elektrik.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pengurusan sisa mampan menerusi penggunaan teknologi moden, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan sampah konvensional.

Ahli Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) meninjau operasi di Loji Sisa Ke Tenaga 1 (WTE1) Jeram, Kuala Selangor pada 25 Mei 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.