21,234 peniaga terima rebat 30 peratus sewa premis secara automatik

18 Jul 2026, 4:00 AM
21,234 peniaga terima rebat 30 peratus sewa premis secara automatik

SHAH ALAM, 18 JULAI: Rebat 30 peratus sewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor akan dinikmati secara automatik oleh penyewa yang layak bermula Julai hingga Disember ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 itu akan memanfaatkan 21,234 peniaga tanpa memerlukan sebarang permohonan dan prosedur yang rumit.

“Dengan pengurangan sewa, peniaga boleh menggunakan lebihan wang itu sebagai modal pusingan atau menampung kos perniagaan yang lain.

“Setiap ringgit yang dijimatkan bagaikan nafas tambahan untuk perniagaan terus hidup, pekerja terus menerima gaji dan keluarga terus sejahtera,” maklumnya di Facebook.

Pada 19 Jun lalu, Amirudin ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 berkata sebanyak RM4.5 juta diperuntuk bagi menjayakan bantuan berkenaan yang akan diberikan secara automatik tanpa memerlukan sebarang permohonan daripada peniaga.

Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang dibentangkan Amirudin pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor, diperkenalkan sebagai tindak balas Kerajaan Negeri terhadap krisis tenaga dan bekalan global yang tercetus susulan konflik di Asia Barat.

Menerusi pakej tersebut, Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa langkah intervensi bagi membantu rakyat dan sektor perniagaan menghadapi cabaran kenaikan kos yang berpunca daripada gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan pasaran tenaga dunia.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.