180,000 pelajar Selangor manfaat Program Tuisyen Rakyat Selangor

17 Jul 2026, 8:27 AM
180,000 pelajar Selangor manfaat Program Tuisyen Rakyat Selangor

SHAH ALAM, 17 JULAI: Seramai 160,000 pelajar sekolah menengah dan 20,000 murid sekolah rendah di Selangor menerima manfaat Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bagi meningkatkan pencapaian akademik.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan program itu turut menyumbang kepada peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Selangor selama tiga tahun berturut-turut.

Beliau berkata PTRS diperkenalkan bagi memastikan anak daripada keluarga berpendapatan rendah serta yang tinggal di luar bandar memperoleh peluang pendidikan yang sama untuk mencapai kecemerlangan akademik.

“GPN SPM Selangor terus menunjukkan peningkatan berturut-turut daripada 4.67 pada 2023, kepada 4.59 pada 2024 dan kini 4.52 pada 2025.

“Angka ini membuktikan kejayaan ribuan pelajar yang duduk dalam kelas PTRS selepas waktu persekolahan dengan makan percuma disediakan serta guru berkelayakan di sisi mereka,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Amirudin menambah PTRS diperkasa pada tahun ini dengan penambahan modul Fizik dan Kimia selaras matlamat memperkukuh pencapaian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Platform ePTRS turut dinaik taraf dengan sesi dua hala antara guru dan pelajar secara langsung. Tiada lagi alasan bahawa tuisyen itu mahal atau jauh.

“Di Selangor, pendidikan berkualiti adalah hak setiap anak-anak kita,” ujarnya lagi.

Beliau yang menerajui portfolio pendidikan negeri memaklumkan kira-kira 17,000 murid turut menerima manfaat Program Didik Kasih (PDK) bagi membantu pemulihan asas literasi dan numerasi.

“Murid-murid ini dibimbing menggunakan modul khusus yang dibangunkan sendiri oleh warga pendidik Selangor. Pada masa yang sama, saya turut gembira apabila kadar murid yang memerlukan kelas pemulihan semakin menurun.

“Ini bermakna asas mereka semakin kukuh sebelum menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah,” tambahnya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.