Kuala Selangor unggul SPM 2025, bukti keberkesanan PTRS

2 Mei 2026, 12:00 PM
Kuala Selangor unggul SPM 2025, bukti keberkesanan PTRS
Kuala Selangor unggul SPM 2025, bukti keberkesanan PTRS
Kuala Selangor unggul SPM 2025, bukti keberkesanan PTRS

SHAH ALAM, 2 MEI: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor muncul sebagai PPD terbaik di Selangor bagi kategori Layak Mendapat Sijil (LMS) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dengan pencapaian 95.16 peratus.

Daerah itu turut merekodkan Gred Purata Daerah (GPD) 4.27, kedua terbaik di negeri ini.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata pencapaian tersebut membuktikan keberkesanan pelaksanaan intervensi pendidikan termasuk Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang memberi manfaat kepada pelajar tingkatan empat dan lima.

Menurutnya, kejayaan PPD Kuala Selangor itu sekali gus menangkis dakwaan bahawa program tuisyen negeri berdepan kekangan capaian di kawasan luar bandar.

Sebaliknya, ia membuktikan pendekatan menyeluruh yang dilaksanakan mampu meningkatkan prestasi akademik pelajar secara signifikan.

“Ini bukti bahawa walaupun Kuala Selangor ini mungkin sebahagiannya berada di kawasan luar bandar, tetapi dengan capaian internet yang makin baik dan juga intervensi yang kita laksanakan, program PTRS dan juga program diadakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri berjaya meningkatkan pencapaian SPM.

“Jadi data kita ada, kita bukan sembang kosong, kita ada data yang kita berikan, terbukti bahawa saya pandangan itu kurang tepat. Capaian internet makin baik dan kalau ada kawasan yang hadapi masalah capaian itu boleh maklum terus kepada SKMM supaya mereka boleh perbetulkan.

“Saya yakin PTRS yang kita laksanakan ini telah berjaya sebenarnya dan pencapaian telah terbukti berdasarkan pencapaian SPM 2025 untuk daerah Kuala Selangor,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau mengulas kenyataan wakil rakyat Permatang, Nurul Syazwani Noh mengenai inisiatif PTRS berdepan kekangan capaian khususnya di kawasan luar bandar apabila masih terdapat jurang dari segi penyampaian maklumat, kemudahan serta akses internet dalam kalangan pelajar.

Jelas Ahmad Azri, rekod pelajar daripada tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Kuala Selangor iaitu SMK Kuala Selangor dan SMK Pengkalan Permatang masing-masing mencatatkan 84 orang pelajar yang berdaftar di pelantar dalam talian PTRS, e-PTRS manakala SMK Tiram Jaya mencatatkan 45 orang.

Menurutnya, selain modul dan kelas dalam talian melalui platform e-PTRS, semua pelajar tingkatan empat dan lima turut menerima modul bercetak merangkumi lapan mata pelajaran utama sebagai bahan sokongan pembelajaran.

“Mereka semua dapat modul bercetak. Tingkatan empat dan lima semua dapat. Masih ada modul bercetak dan boleh gunakan untuk pembelajaran mereka. Cikgu-cikgu pun memberi galakan supaya modul PTRS ini jadi bahan tambahan dalam pembelajaran mereka.

“Kita ada data. Kalau YB Permatang nak kata di kawasan dia ada masalah. Permatang itu dalam daerah Kuala Selangor. Data ada. Jadi itu buktinya pencapaian terbaik untuk Kuala Selangor. Bahkan lebih baik dari daerah-daerah dalam bandar pun. Lebih baik daripada Gombak pun,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, Yayasan MBI turut bersedia memainkan peranan sebagai pemudah cara sekiranya terdapat masalah capaian internet, termasuk menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan lanjut.

Sebelum ini, Ahmad Azri berkata MBI menerima surat penghargaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor selama tiga tahun berturut-turut ekoran sumbangan PTRS dalam pencapaian SPM negeri.

Menurutnya, PTRS membantu meningkatkan prestasi calon SPM berikutan purata GPN semakin positif dari tahun ke tahun.

Menurutnya, pencapaian itu selari peningkatan bilangan pelajar yang Layak Mendapat Sijil (LMS) SPM antara 2023 hingga 2025.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.