SHAH ALAM, 11 JULAI: Pelajar tingkatan lima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning dipelawa menyertai Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bagi membantu mereka membuat persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Wakil rakyatnya, S. Preakas berkata permohonan program tuisyen percuma anjuran Kerajaan Selangor itu boleh dibuat melalui sekolah masing-masing atau secara dalam talian menerusi portal ePTRS di pautan https://eptrs.my/login
“Pemilihan peserta akan dibuat oleh pihak sekolah. Jangan lepaskan peluang ini untuk meningkatkan prestasi akademik dan melakar kejayaan dalam SPM.
“Semoga lebih ramai anak-anak DUN Kota Kemuning dapat memanfaatkan program Kerajaan Selangor ini dan mencapai keputusan yang cemerlang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
PTRS menyediakan kelas tuisyen percuma bagi enam mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan.
Peserta turut menerima akses kepada aplikasi ePTRS yang menawarkan video pembelajaran, teknik menjawab soalan serta e-buku sebagai bahan ulang kaji.
Sepanjang tahun lalu, lebih 160,000 pelajar tingkatan empat dan lima di seluruh Selangor mengikuti PTRS yang dilaksanakan menerusi peruntukan RM10 juta.
Tahun lalu, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata PTRS dikenal pasti antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan bilangan pelajar memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran.
Selain membantu calon peperiksaan utama, program itu turut diperluas pada 2024 bagi membimbing murid kelas pemulihan menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).







