Enam lelaki didakwa miliki 6.4 tan minyak masak subsidi tanpa lesen

17 Jul 2026, 7:21 AM
Enam lelaki didakwa miliki 6.4 tan minyak masak subsidi tanpa lesen

SHAH ALAM, 17 JULAI: Enam lelaki termasuk seorang warga tempatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki 6,443 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi tanpa lesen sah, Selasa lepas.

Bagaimanapun, tertuduh warga tempatan Moo Teck Lim, 50, seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dalam bahasa Mandarin dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Sementara itu, pertuduhan terhadap empat lagi lelaki warga Myanmar berusia 21 hingga 36 tahun akan dibacakan semula pada 17 Ogos depan bagi urusan penyediaan jurubahasa memandangkan mereka tidak memahami bahasa Melayu.

Mengikut pertuduhan, Moo bersama empat warga asing itu didakwa memiliki 4,845 kg minyak masak dalam keadaan menimbulkan syak munasabah di sebuah premis tanpa nama di Jalan Apollo, Bandar Pinggiran Subang pada 3.30 petang, 14 Julai lalu.

Perbuatan itu melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu satu kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sallim Wahid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan Moo diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di Pejabat KPDN Putrajaya setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan kehadiran jurubahasa Myanmar ditetapkan pada 17 Ogos depan.

Dalam prosiding berlainan, seorang warga India, Senthil Vadivel, 49, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki 1,598 kg minyak masak tanpa lesen di sebuah premis di Jalan Bakti 25/15, di sini pada 5.40 petang tarikh yang sama dan didakwa mengikut akta dan seksyen yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN Nur Abyan Anuar manakala Senthil diwakili Peguam Mark Jeyakumar Michael.

Fatimah membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan iaitu melapor diri di Pejabat KPDN Putrajaya pada minggu pertama setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes dan bagi serahan dokumen serta laporan kimia ditetapkan pada 24 Ogos depan.

-- BERNAMA

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.