Seleweng minyak masak paket, enam ditahan

17 Jul 2026, 2:22 AM
Seleweng minyak masak paket, enam ditahan

SHAH ALAM, 17 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membongkar kegiatan penyelewengan minyak masak paket bersubsidi menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dalam serbuan di dua stor di Bandar Pinggiran Subang dan Jalan Bakti, di sini, Rabu lalu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata pemeriksaan mendapati kedua-dua premis itu dijadikan lokasi penyimpanan minyak masak paket bersubsidi yang dipercayai dipotong daripada bungkusan asal sebelum dijual kepada pemborong minyak masak terpakai.

Beliau berkata, kegiatan itu dipercayai bertujuan meraih keuntungan dengan menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi.

"Siasatan awal turut mendapati pengendali premis gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen sah berkaitan aktiviti penyimpanan dan urus niaga barang kawalan berjadual.

"Pasukan serbuan turut menyita kira-kira 6,426 kilogram minyak masak paket bersubsidi, 13 tangki IBC, empat tangki simpanan, enam tong dram, tiga pam elektrik, corong, hos penyambung, sebuah lori, peralatan memotong bungkusan minyak masak, kotak pembungkusan serta beberapa unit telefon bimbit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM129,874.50

Katanya, enam individu berusia lingkungan 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan membabitkan seorang lelaki tempatan dan lima lelaki warga asing.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual tanpa lesen sah daripada Pengawal Bekalan.

"Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti pembabitan individu atau syarikat lain yang mempunyai kaitan dengan kegiatan ini," katanya.

Azman berkata sejak Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dilancarkan pada 16 Mac lalu, KPDN merekodkan 137 kes penyelewengan minyak masak dengan rampasan sebanyak 165,568 kilogram bernilai RM615,936.02.

Menurutnya, Sabah merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 36 kes dengan nilai rampasan RM72,265.46, manakala KPDN Putrajaya mencatat kuantiti rampasan terbesar sebanyak 55,445 kilogram menerusi empat kes.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.