KDN batal larangan lima buku di bawah Akta Mesin Cetak

16 Jul 2026, 1:22 PM
KDN batal larangan lima buku di bawah Akta Mesin Cetak

SHAH ALAM, 16 JULAI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan perintah larangan terhadap lima buku yang sebelum ini diharamkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, sekali gus membolehkan karya berkenaan dicetak, diterbitkan, dijual, diedarkan dan dimiliki semula secara sah.

Pembatalan itu dibuat Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi lima Warta Kerajaan Persekutuan yang diwartakan pada 16 dan 17 Julai.

Menurut warta berkenaan, Menteri Dalam Negeri menggunakan kuasa di bawah Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk membatalkan perintah larangan yang sebelum ini menghalang pencetakan, pengimportan, penerbitan, penjualan, pengedaran serta pemilikan hasil penerbitan terbabit.

Buku yang terlibat ialah:

  1. Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan dan versi bahasa Inggerisnya, Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty karya Mustafa Akyol; terbitan Islamic Renaissance Front (IRF)

  2. Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah; terbitan Gerakbudaya.

  3. Sigandi; karya M. Navin, terbitan Fixi

  4. Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS Ke Rejimen Ke-10;

  5. Mao Zedong: China Dalam Dunia Abad ke-20 terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Perintah pembatalan terhadap dua buku karya Mustafa Akyol ditandatangani pada 30 April 2026, manakala empat lagi buku dibatalkan menerusi perintah yang dibuat pada 1 Julai 2026.

Dengan pewartaan itu, semua judul berkenaan tidak lagi tertakluk kepada perintah larangan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Sebelum ini, pengharaman beberapa buku terbabit mengundang bantahan daripada PEN Malaysia, ahli politik, penerbit dan penulis yang mempersoalkan ketelusan proses berkenaan serta implikasinya terhadap kebebasan intelektual.

Susulan itu, KDN mengadakan sesi libat urus bersama Malaysian Book Publishers Association (MABOPA) dan berjanji menyemak semula buku diharamkan, menghentikan operasi rampasan serta menambah baik mekanisme rayuan dan penilaian penerbitan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.