18,838 kes langgar syarat pas imigresen, warga Bangladesh paling ramai

26 Nov 2026, 2:37 AM
18,838 kes langgar syarat pas imigresen, warga Bangladesh paling ramai

SHAH ALAM, 26 NOV: Sebanyak 18,838 kes pelanggaran syarat pas imigresen direkodkan sejak 2023 hingga 15 September lalu, dengan warga Bangladesh mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 6,898 orang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), warga Thailand mencatatkan jumlah kedua tertinggi dengan 4,856 orang, diikuti Indonesia (2,154), China (1,207), Vietnam (1,046) dan Pakistan (823).

Menurutnya, kesalahan sama turut melibatkan warga Myanmar (531), India (500), Nepal (328), Laos (172) dan Filipina (157), manakala selebihnya membabitkan warganegara lain.

Beliau menegaskan kemudahan Pas Lawatan Sosial dan pengecualian visa bagi tujuan pelancongan tidak membenarkan warga asing bekerja atau menjalankan perniagaan di negara ini.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) ingin menegaskan bahawa warganegara asing dilarang sama sekali untuk menjalankan sebarang aktiviti perniagaan, perdagangan komersial, atau bekerja di Malaysia tanpa memiliki pas dan permit kerja yang sah,” katanya dalam jawapan bertulis kementerian itu di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam) mengenai pecahan warga asing yang ditahan kerana bekerja menggunakan Pas Lawatan Sosial serta langkah menangani kegiatan perniagaan haram menerusi kemudahan bebas visa.

Saifuddin berkata JIM melaksanakan 5,053 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dengan pemeriksaan terhadap 72,854 individu bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Hasil operasi itu, seramai 2,306 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan kerana melanggar syarat pas, manakala 801 majikan turut dikenakan tindakan kerana menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan atau pas sah.

Menurutnya, Ops Selera pula merekodkan 2,338 tangkapan menerusi 759 operasi, diikuti Ops Belanja dengan 589 tangkapan melalui 409 operasi serta Ops Jaja yang menahan 90 PATI dalam 75 operasi bagi tempoh sama.

Beliau berkata JIM turut memperhebat pemantauan premis dan menetapkan sasaran kepada jabatan imigresen negeri untuk meningkatkan tindakan terhadap majikan yang melanggar undang-undang.

Katanya, kerjasama antara KDN, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Pelancongan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) turut diperkukuh bagi membanteras penyalahgunaan pas lawatan.

Saifuddin menegaskan kerajaan mengamalkan pendekatan toleransi sifar terhadap penyalahgunaan kemudahan imigresen bagi melindungi peluang perniagaan rakyat tempatan serta memastikan persaingan yang adil kepada usahawan negara.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.