Yayasan MBI salur RM348,500 bantu persatuan, atlet Selangor ke pentas antarabangsa

16 Jul 2026, 1:00 PM
Yayasan MBI salur RM348,500 bantu persatuan, atlet Selangor ke pentas antarabangsa
Yayasan MBI salur RM348,500 bantu persatuan, atlet Selangor ke pentas antarabangsa
Yayasan MBI salur RM348,500 bantu persatuan, atlet Selangor ke pentas antarabangsa
Yayasan MBI salur RM348,500 bantu persatuan, atlet Selangor ke pentas antarabangsa

SHAH ALAM, 16 JULAI: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI terus komited menyokong pembangunan atlet negeri menerusi sumbangan tunai berjumlah RM348,500 kepada 16 penerima yang terdiri daripada atlet dan persatuan sukan.

Antara penerima utama ialah Persatuan Memanah Selangor, pasukan e-sukan Selangor Red Giants (SRG) dan Kesatuan Ragbi Selangor yang masing-masing menerima RM100,000, manakala atlet lawan pedang Selangor, Saif Nordin, menerima RM20,000.

Presiden Persatuan Memanah Selangor, Mohamad Norwafi Sahroni berkata sumbangan RM100,000 yang diterima akan membantu memperkukuh pengurusan persatuan selain menyokong usaha melahirkan lebih ramai pemanah bertaraf Olimpik.

Menurut beliau, bantuan itu merupakan sumbangan kali ketiga daripada Yayasan MBI kepada Persatuan Memanah Selangor.

Presiden Persatuan Memanah Selangor, Mohamad Norwafi Sahroni ketika ditemui selepas Majlis Serahan Sumbangan Bersama Ketua Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 16 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

"Kami ucapkan ribuan terima kasih dan amat menghargai sumbangan yang diberikan oleh pihak Yayasan MBI kepada Persatuan Memanah Selangor. Sebenarnya ini bukan kali pertama (sumbangan) Yayasan MBI kepada persatuan. Ini sudah kali ketiga sebenarnya bantuan daripada Yayasan MBI ini.

"Ini juga dapat membantu kami untuk menggerakkan persatuan dengan lebih baik dan Alhamdulillah kami dapat melahirkan seorang pemanah negara bertaraf Olimpian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serahan Sumbangan Bersama Ketua Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan di sini, hari ini.

Jurulatih papan selaju kebangsaan, Mariss Khan ditemui media selepas Majlis Serahan Sumbangan Bersama Ketua Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 16 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Jurulatih Papan Selaju Kebangsaan, Mariss Khan yang menerima sumbangan RM3,000 bagi penyertaan program luar negara berkata bantuan itu dapat menampung sebahagian kos penyertaan pasukan ke kejohanan antarabangsa.

Beliau berkata pasukannya sebelum ini menyertai program di China dan Thailand, selain sedang mengumpul dana bagi memastikan atlet muda terus mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa.

"Program kami telah berlangsung pada awal Mac sebelum ini di China dan juga di Thailand.

"Kami mengalu-alukan sesiapa yang boleh membantu menyalurkan dana disebabkan atlet kami masih muda sekitar 16 tahun dan 17 tahun," katanya.

Menurutnya, sasaran jangka panjang pasukan itu adalah melayakkan atlet ke Sukan Olimpik Brisbane 2032.

Atlet sukan permotoran, Danish Rifqi Yusnizam ketika ditemui selepas Majlis Serahan Sumbangan Bersama Ketua Yayasan MBI di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 16 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Bagi atlet sukan permotoran, Danish Rifqi Yusnizam pula berkata sumbangan RM3,000 yang diterima membantu mengurangkan beban kewangan dalam menyediakan kelengkapan perlumbaan.

Katanya, bantuan itu juga menjadi suntikan semangat menjelang penyertaannya dalam Kejuaraan Superbike Malaysia 2026 (MSBK) yang dijadual berlangsung minggu depan.

"Saya rasa gembira kerana dapat mengurangkan sedikit beban dan dapat tambahkan modal untuk kelengkapan motor," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.