SHAH ALAM, 16 JULAI: Penyakit tidak berjangkit (NCD) bukan lagi hanya menyerang golongan berusia apabila terdapat individu didiagnosis menghidap diabetes jenis 2 seawal usia 14 tahun.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkembangan itu menjadi isyarat bahawa NCD kini semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera daripada semua pihak.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu @ Aman Anak Begri, berhubung statistik NCD dalam kalangan belia serta keberkesanan kempen War on Sugar di Dewan Rakyat hari ini.
"Apa yang lebih mengejutkan, NCD bukan lagi penyakit orang tua. Kini, kita melihat individu didiagnosis dengan diabetes jenis 2 seawal usia 14 tahun," katanya.
Menurut beliau, melalui Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) 2025, seramai 347,813 belia berusia 18 hingga 30 tahun telah menjalani saringan kesihatan.
Walaupun 98.1 peratus daripada mereka tidak mempunyai sejarah NCD, hasil saringan mendapati 3.4 peratus mempunyai paras glukosa darah yang tinggi manakala 8.8 peratus mengalami tekanan darah tinggi.
Dr Dzulkefly berkata secara keseluruhannya, NCD terus menjadi ancaman kesihatan utama negara apabila meragut hampir 94,000 nyawa rakyat Malaysia setiap tahun.
Katanya, angka itu jauh melebihi jumlah kematian akibat pandemik Covid-19 yang meragut hampir 37,000 nyawa sepanjang dua tahun.
Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan cukai minuman bergula mula menunjukkan impak positif apabila kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2024 mendapati kadar pengambilan minuman bergula dalam kalangan remaja menurun daripada 36.9 peratus kepada 16.4 peratus.
Sejajar dengan Kempen War on Sugar, kerajaan turut menaikkan kadar cukai minuman bergula kepada RM0.90 seliter bermula 1 Januari 2025, dengan keberkesanannya akan dipantau bersama UNICEF sehingga 2027.
Selain itu, KKM sedang melaksanakan Pelan Strategik Mengurangkan Gula 2024-2030 menerusi pelbagai inisiatif termasuk KiBaR (Kira, Bakar, Rekod), sistem pelabelan Nutri-Grade, Healthier Choice Logo (HCL) serta Healthy Dining Programme di premis makanan.
Dr Dzulkefly turut menggesa semua Ahli Parlimen memainkan peranan sebagai ejen penerangan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat.
"Jangan hanya mengharapkan KKM membina fasiliti kesihatan, klinik dan hospital di kawasan masing-masing. Anda juga mesti bertindak sebagai ejen penerangan. Mainkan peranan proaktif untuk mendidik dan mengingatkan rakyat di kawasan anda tentang kepentingan menjaga kesihatan," katanya.







