SHAH ALAM, 9 FEB: Kerajaan Selangor terus memperkukuh usaha membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dengan memberi tumpuan kepada pencegahan dan pengesanan awal bagi melindungi kesihatan rakyat serta mengawal kos rawatan yang semakin meningkat.
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata peningkatan kes NCD bukan sahaja memberi kesan kepada kualiti hidup rakyat, malah membebankan sistem kesihatan negeri.

“Justeru, dasar kesihatan Selangor menekankan pencegahan, saringan awal dan literasi kesihatan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif bersasar,” katanya kepada Media Selangor.
Antara langkah utama ialah Program Selangor Saring yang menawarkan saringan kesihatan percuma bagi mengesan awal penyakit seperti barah, penyakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi dan masalah buah pinggang.
Selain itu, Bantuan Sihat Selangor disediakan bagi membantu pesakit menampung kos rawatan, peralatan perubatan dan ubat-ubatan di hospital kerajaan, khususnya melibatkan pesakit barah dan penghidap NCD.
Kerajaan Negeri juga melaksanakan Iltizam Selangor Sihat bagi memastikan penduduk layak mendapat akses kepada penjagaan kesihatan asas dan vaksinasi, sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.
Bagi golongan kanak-kanak, Program Anak Selangor Anak Sihat menyediakan pemeriksaan indeks jisim badan serta konsultasi percuma bagi mengesan awal masalah kesihatan, tumbesaran dan pemakanan.
“Program ini membantu ibu bapa dan penjaga memahami kepentingan pemakanan seimbang serta gaya hidup sihat sejak usia awal,” jelasnya.
Jamaliah berkata usaha pencegahan turut diperluas kepada warga emas melalui saringan kesihatan percuma dan kempen kesedaran berkaitan NCD di peringkat komuniti.
“Menerusi pendekatan ini, kerajaan negeri menyasarkan pengesanan awal penyakit, rawatan lebih berkesan dan penjimatan kos kesihatan dalam jangka panjang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Selangor menggandakan peruntukan kesihatan mental daripada RM700,000 kepada RM1.5 juta tahun ini bagi memperkukuh sokongan psikososial kepada rakyat.
Menurutnya, peruntukan tersebut menyokong perkhidmatan Talian SEHAT, rawatan psikiatri bersubsidi serta kaunselor SEHAT Hub yang menawarkan sesi kaunseling percuma setiap minggu di seluruh negeri.
Tambah beliau, program rintis kesedaran kesihatan mental untuk remaja menerusi Kumpulan Sokongan Rakan Sebaya juga akan diperkenalkan di sekolah terpilih.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan negara perlu beralih daripada pendekatan rawatan semata-mata kepada strategi pencegahan, memandangkan kos pengurusan NCD dianggarkan mencecah RM64.3 bilion setahun, lapor Berita Harian.





