SHAH ALAM, 21 JULAI: Pendedahan kes diabetes jenis 2 seawal usia 14 tahun mencetuskan kebimbangan orang ramai yang menyifatkan tabiat pemakanan dan gaya hidup masa kini perlu diberi perhatian lebih serius bagi melindungi kesihatan golongan muda.
Tinjauan Media Selangor mendapati ibu bapa dan petugas kesihatan berpandangan usaha mencegah penyakit itu perlu bermula dari rumah melalui pembentukan tabiat pemakanan yang lebih sihat, selain menggalakkan aktiviti fizikal sejak kecil.
Bagi Robiatuladawiyah Anizan, 29, trend makanan dan minuman manis yang semakin mendapat perhatian di media sosial boleh mempengaruhi pilihan pemakanan kanak-kanak sekiranya tidak dipantau.

Sebagai ibu kepada dua anak, beliau berkata tanggungjawab membentuk tabiat pemakanan sihat tidak boleh diletakkan kepada ibu bapa semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama seluruh ahli keluarga.
"Pada saya, bukan ibu sahaja yang perlu jaga pemakanan anak, tetapi semua ahli keluarga perlu memainkan peranan," katanya ketika ditemui Media Selangor.
Sementara itu, Pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) Nik Mohamad Yusof Nik Mohamad Hasenu, 38, berkata langkah pencegahan perlu dimulakan dalam persekitaran keluarga kerana ibu bapa masih boleh mengawal pemakanan anak ketika berada di rumah.

Beliau berkata atas faktor itu, dirinya tidak lagi menggunakan gula dan menggantikannya dengan stevia sebagai alternatif.
"Di luar kita tak boleh pantau apa yang anak makan, tetapi di rumah saya terapkan amalan tanpa gula dan menggantikannya menggunakan stevia," katanya.
Seorang lagi pegawai KKM, Amirul Syafiq M Mustafa, 36, pula berpandangan perubahan gaya hidup secara menyeluruh lebih berkesan berbanding hanya mengurangkan pengambilan gula.
Beliau berkata ibu bapa boleh memperkenalkan buah-buahan sebagai pilihan snek, di samping meluangkan masa melakukan aktiviti fizikal bersama keluarga bagi membentuk amalan hidup yang lebih sihat.

"Kalau boleh, kerajaan juga boleh memperketatkan kandungan nutrisi makanan yang dijual di sekolah supaya kanak-kanak lebih mudah mengamalkan pemakanan sihat seperti negara Jepun," katanya.
Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan penyakit tidak berjangkit (NCD) bukan lagi hanya menyerang golongan berusia apabila terdapat individu didiagnosis menghidap diabetes jenis 2 seawal usia 14 tahun.
Menurut beliau, perkembangan itu menjadi isyarat bahawa NCD kini semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera daripada semua pihak.








