Dua lelaki upahan along dipenjara 18 bulan, denda RM20,000

16 Jul 2026, 7:10 AM
Dua lelaki upahan along dipenjara 18 bulan, denda RM20,000

SHAH ALAM, 16 JULAI: Dua lelaki dipercayai upahan Ah Long dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 18 bulan dan denda RM20,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengganggu serta mengugut peminjam, pada Mac dan April lalu.

Khairul Helmy Abd Karim, 39, dan Mohamad Irwan Abdul Halim, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa bertindak dengan niat bersama mengganggu seorang lelaki dengan menyimbah cat merah pada keretanya di Taman Sri Putra, di sini, pada 3.30 pagi, 14 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat bersama mengganggu seorang lagi lelaki dengan menyimbah cat kuning pada sebuah kereta jenis Naza Forte serta pintu pagar sebuah rumah di Taman Berjaya, di sini, pada 5.30 pagi, 21 April lalu.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 29(B)(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara lapan bulan bagi pertuduhan pertama, dengan tambahan penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua tertuduh masing-masing didenda RM10,000 dan dipenjara 10 bulan. Mereka turut berdepan tambahan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Hazwani Md Noor, manakala kedua-dua tertuduh diwakili Nur Farahin Saad daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.