SHAH ALAM, 8 JUN: Penganggur yang bertindak sebagai orang suruhan ceti haram atau along dipenjara 14 hari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengugut seorang warga emas.
Tertuduh, Kylee Choo Hsien Xin, 25, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Arun Noval Dass selepas didakwa mengugut mahu membakar rumah milik seorang lelaki berusia 67 tahun yang dipercayai peminjam wang.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Bagaimanapun, tertuduh dilaporkan telah menjelaskan denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa membuat ugutan melalui sekeping nota bagi melakukan khianat terhadap rumah milik warga emas itu di Taman Selatan Yong Peng pada jam 3 pagi, 7 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan sehingga dua tahun selain peruntukan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, lapor Harian Metro.
Berdasarkan fakta kes, mangsa menemukan satu notis ugutan tulisan tangan yang ditampal di hadapan rumahnya kira-kira jam 6 pagi pada hari kejadian.
Pada masa sama, bahagian hadapan rumah warga emas berkenaan turut disimbah cat merah, menyebabkan mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan sebelum menahan tertuduh pada 23 Mei lalu bagi membantu siasatan.
Hasil analisis perbandingan tulisan tangan yang dijalankan makmal forensik polis mengesahkan nota ugutan berkenaan ditulis oleh tertuduh sebelum ditampal pada pintu pagar rumah mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Suhaila Shafi'uddin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).







