ad

Pegawai, anggota polis disiasat dakwaan salah laku, sogokan kes along

6 Okt 2025, 1:59 PM
Pegawai, anggota polis disiasat dakwaan salah laku, sogokan kes along

HULU SELANGOR, 6 OKT: Polis membuka kertas siasatan tatatertib terhadap seorang pegawai dan anggotanya susulan dakwaan salah laku ketika mengendalikan siasatan berhubung kes sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau along.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata tindakan diambil selepas siasatan awal mendapati wujud unsur salah laku semasa kedua-duanya berurusan dengan pengadu dalam proses siasatan kes terbabit.

“Polis Selangor telah mengenal pasti kejadian itu dan mengesahkan ia berlaku di sebuah daerah di Selangor. Laporan pengadu dibuka di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan siasatan terhadap kes utama sedang berjalan tanpa sebarang masalah.

“Namun, hasil siasatan awal mendapati memang berlaku salah laku di pihak pegawai dan anggota yang terlibat. Atas arahan saya, kertas siasatan tatatertib dibuka terhadap kedua-duanya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang melanggar integriti dan tindakan tegas akan diambil sekiranya kesalahan dibuktikan.

“Kita sentiasa mendengar rintihan masyarakat dan menguruskannya dengan baik. Tindakan dalaman ini menunjukkan ketelusan dan kesungguhan kami memastikan setiap aduan disiasat secara adil,” katanya.

Sebelum ini, seorang pengadu dilaporkan mendakwa ditawar RM500 oleh seorang pegawai polis sebagai sogokan untuk menarik balik laporan yang dibuat berhubung kegiatan ‘along’, selain mendakwa dilayan secara tidak adil semasa membuat aduan.

Sementara itu, berhubung Op Tapis membanteras dadah di Selangor tahun ini yang dilaksanakan di beberapa lokasi hotspot antaranya jeti, ladang dan felda, Shazeli berkata polis menahan 748 individu dengan rampasan dadah bernilai lebih RM4.3 juta.

"Siri pertama pada Mei dilaksanakan di Petaling Jaya, Subang Jaya dan Serdang telah menahan 160 orang dengan rampasan dadah bernilai RM35,551, manakala siri kedua di seluruh Selangor melibatkan tangkapan 588 orang dan rampasan dadah kira-kira RM4.3 juta.

"Pelbagai dadah dirampas dan serbuan ini juga dilaksanakan hasil aduan serta maklumat orang awam," katanya.

Beliau berkata operasi seumpama itu akan diteruskan dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah, menangkap ‘tokan’ serta memusnahkan lokasi penagihan.

-- BERNAMA

TAG: polis, kertas siasatan, tatatertib, Op Tapis, dadah