KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Bermula dengan hanya meminjam RM150, mangsa pinjaman wang tidak berlesen terperangkap dalam jerat along sehingga terpaksa menjadi pak turut dan membakar rumah peminjam lain yang gagal melunaskan hutang demi menyelamatkan nyawa sendiri dan keluarga.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Unit Banteras Ahlong, Pusat Pengajian al-Quran dan Fardu Ain Darul Muttaqim (DM) Adam Mustapa berkata selain diugut, mangsa pinjaman tidak berlesen ini juga dikerah melakukan jenayah dengan menyimbah cat dan mengganggu peminjam lain yang gagal membayar hutang.
“Jika mereka sanggup melakukannya, hutang akan dikurangkan sedikit demi sedikit, seperti contoh membakar sebuah rumah boleh lupuskan RM1,500 daripada hutang. Kalau jumlah hutang termasuk bunga cecah RM9,000, berapa rumah perlu dibakar?” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Adam berkata sejak 2022, pihaknya berjaya menyelesaikan lebih 2,000 kes berkaitan pinjaman wang haram dengan jumlah pinjaman tertinggi pernah direkodkan ialah RM70,000 yang bermula dengan pinjaman awal RM150.
Beliau mendakwa sindiket berkenaan biasanya menawarkan pinjaman serendah RM300 hingga RM500, namun peminjam hanya menerima kira-kira RM150 hingga RM300.
Wang berkenaan kemudian dimasukkan secara dalam talian ke akaun peminjam dan mereka diwajibkan menghantar video lokasi kediaman serta keadaan rumah secara berkala melalui WhatsApp.
Beliau mendakwa sindiket itu beroperasi dari Kemboja melibatkan warga asing serta rakyat tempatan, dan menggunakan bahasa Indonesia dalam komunikasi mereka.
“Lazimnya, peminjam diminta membayar balik pinjaman mereka dalam masa empat hari, selepas dua minggu tiada bayaran, kumpulan ini akan bertindak ganas termasuk mengunci pintu rumah mangsa, menyimbah cat, menyebarkan salinan kad pengenalan dan paling drastik, membakar rumah,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak terperdaya dengan tawaran pinjaman mudah yang akhirnya membawa padah.
-- BERNAMA