Ex-Urban Falcon 2026 uji kesiapsiagaan hadapi nahas pesawat luar lapangan terbang

16 Jul 2026, 5:35 AM
Ex-Urban Falcon 2026 uji kesiapsiagaan hadapi nahas pesawat luar lapangan terbang
Ex-Urban Falcon 2026 uji kesiapsiagaan hadapi nahas pesawat luar lapangan terbang
Ex-Urban Falcon 2026 uji kesiapsiagaan hadapi nahas pesawat luar lapangan terbang
Ex-Urban Falcon 2026 uji kesiapsiagaan hadapi nahas pesawat luar lapangan terbang
Ex-Urban Falcon 2026 uji kesiapsiagaan hadapi nahas pesawat luar lapangan terbang

SHAH ALAM, 16 JULAI: Latih Amal Ex-Urban Falcon 2026 membawa kesiapsiagaan pengurusan bencana udara negara ke tahap baharu menerusi simulasi kemalangan pesawat berskala penuh pertama di Malaysia yang dilaksanakan jauh dari perimeter lapangan terbang.

Pengurus Besar Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS), Muhammad Hidayat Ismail berkata latihan itu penting bagi memastikan tahap kesiapsiagaan semua agensi tindak balas berada pada tahap terbaik sekiranya berlaku kecemasan melibatkan pesawat.

Katanya, latihan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Denai Alam, Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) itu menguji keupayaan Malaysia Airports bersama lebih 20 agensi awam dan swasta mengendalikan senario nahas pesawat di luar perimeter lapangan terbang.

“Objektif kita melaksanakan latihan amal ini untuk memastikan tahap kesiapsaganan terutamanya Malaysia Airports Holding Berhad dan juga agensi tindak balas yang terdapat dalam pelan kecemasan aerodrom terutama melibatkan nahas pesawat yang berlaku di luar kawasan lapangan terbang.

“Berdasarkan National Aeronautical Search and Rescue Manual, kawasan tanggungjawab AFRS adalah daripada titik tengah lapangan terbang sehinggalah lingkungan 8 km daripada lapangan terbang tersebut.

“Sebab itu pada hari ini anda lihat sebuah jentera AFRS keluar dan bertindak balas terhadap kecemasan pesawat pada hari ini,” katanya ketika ditemui pada Simulasi Latih Amal Bencana Udara Ex-Urban Falcon 2026 di R&R Denai Alam, hari ini.

Pengurus Besar Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS), Muhammad Hidayat Ismail bercakap kepada media selepas Simulasi Latih Amal Bencana Udara Ex-Urban Falcon 2026 di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Denai Alam, Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), Shah Alam pada 16 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurut beliau, latihan itu menggunakan senario sebuah pesawat ATR 72 Melati Air yang membawa 70 penumpang termasuk kru mengalami masalah enjin sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang.

“Pada hari ini kita menggunakan senario melibatkan sebuah pesawat ATR 72 Melati Air yang membawa seramai 70 orang penumpang dan juga kru.

“Selepas mereka membuat penerbangan naik, terdapat masalah kepada enjin dan pesawat tersebut berpatah balik dan sewaktu berpatah balik pesawat terhempas berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Plaza Tol Denai Alam,” katanya.

Muhammad Hidayat berkata latihan kali ini berbeza kerana mensimulasikan nahas pesawat di luar kawasan lapangan terbang pada jarak kira-kira enam kilometer dari LTSAAS, berbanding latihan terdahulu yang hanya dijalankan berhampiran pagar lapangan terbang.

“Sebenarnya kita pernah juga membuat kecemasan pesawat di luar lapangan terbang sebelum ini tetapi ia hanyalah di sebelah pagar lapangan terbang sahaja.

“Ini buat pertama kalinya kita buat senario ini sedikit jauh daripada kawasan lapangan terbang iaitu lebih kurang 6 kilometer daripada LTSAAS,” katanya.

Beliau berkata semua agensi tindak balas yang terlibat berjaya melaksanakan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP), termasuk memadam kebakaran, operasi menyelamat dan proses pengenalpastian mayat.

Pelbagai agensi penguat kuasa dan tindak balas kecemasan bekerjasama dalam Simulasi Latih Amal Bencana Udara Ex-Urban Falcon 2026 di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Denai Alam, Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), Shah Alam pada 16 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Katanya, latihan itu penting memandangkan bencana udara merupakan insiden yang jarang diuji, khususnya di luar kawasan lapangan terbang.

“Saya berharap latihan ini memberi satu titik permulaan kepada tahap kesiagaan agensi kerana kita biasa dengar tentang bencana banjir, tanah runtuh dan sebagainya, bencana udara ini jarang sekali kita uji di kawasan luar lapangan terbang,” katanya.

Menurut beliau, simulasi itu merupakan sebahagian daripada Program Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026 dan dapatan latihan akan dibentangkan dalam Bengkel Pengurusan Bencana Udara pada 26 dan 27 Julai ini bagi mengenal pasti penambahbaikan dalam pengurusan kecemasan pesawat di luar perimeter lapangan terbang.

Terdahulu, kira-kira 450 peserta daripada lebih 20 agensi awam dan swasta menyertai latihan berkenaan, termasuk Malaysia Airports, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor.

Turut terlibat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).

Latihan kendalian Malaysia Airports itu melibatkan senario "aircraft accident off airport" dan dilaksanakan dalam dua fasa.

Fasa pertama ialah "Tabletop Exercise" yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah semalam, manakala fasa kedua ialah Full Scale Exercise yang diadakan di kawasan berhampiran R&R Denai Alam hari ini.

Semalam, EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi berkata penganjuran latihan itu mengambil kira kedudukan Selangor sebagai pintu utama pelaburan asing dan pelancongan yang mempunyai dua lapangan terbang strategik.

Beliau berkata program berkenaan juga merupakan usaha Kerajaan Negeri sebagai persediaan menghadapi sebarang insiden kecemasan yang melibatkan pintu masuk utama negara.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.