SHAH ALAM, 13 JULAI: Pengguna Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya melihat replika pesawat, kenderaan kecemasan, kepulan asap atau mendengar bunyi siren di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Denai Alam pada 16 Julai ini.
Malaysia Airports berkata keadaan itu adalah sebahagian daripada Latihan Penuh Skala Kemalangan Udara, Latih Amal Ex Urban Falcon 2026 yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 2 petang.
“Latihan berkenaan dianjurkan Malaysia Airports dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, PROLINTAS-DASH dan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPEN) menerusi Program Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026 bertemakan Integrasi Perkasa, Aspirasi Nusa,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Malaysia Airports, latihan simulasi itu bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan, koordinasi serta tindak balas pelbagai agensi dalam menghadapi situasi kecemasan melibatkan kemalangan udara.
Selain itu, latihan berkenaan turut menguji keberkesanan prosedur respons agensi keselamatan dan kecemasan bagi memastikan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara cekap, tersusun dan berkesan.
Sehubungan itu, pengguna lebuh raya serta orang awam diminta memberi kerjasama sepanjang latihan berlangsung dengan mematuhi arahan petugas di lokasi bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.
Malaysia Airports, JaPEN dan PROLINTAS turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama orang ramai dalam membantu menjayakan latihan tersebut dengan selamat dan lancar.







