SHAH ALAM, 15 JULAI: Kerajaan Selangor dengan kerjasama Malaysia Airports menganjurkan Latih Amal Bencana Udara menerusi Program Ex Urban Falcon 2026 di kawasan berhampiran Rehat & Rawat (R&R) Denai Alam, Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), esok.
EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi berkata latihan itu membabitkan 450 peserta daripada pelbagai agensi keselamatan sebagai persediaan menghadapi sebarang kecemasan pada masa depan.
Menurutnya, penganjuran latihan berkenaan mengambil kira kedudukan Selangor sebagai pintu utama pelaburan asing dan pelancongan dengan kemudahan dua lapangan terbang strategik.
“Selangor merupakan pintu utama pelaburan asing dan pelancong dengan kemudahan dua lapangan terbang strategik iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

“Latihan ini bukan hanya melihat aspek alam sekitar tetapi turut mengambil kira keselamatan negara, aset strategik, aset keselamatan, komunikasi dan pengurusan krisis,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program tersebut di Dewan Jubli Perak, hari ini.
Mohd Najwan menambah program juga merupakan usaha Kerajaan Negeri sebagai persiapan menghadapi sebarang insiden kecemasan yang melibatkan pintu masuk utama negara.
“Sebelum ini, Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Westports Malaysia Sdn Bhd dalam latihan simulasi di pelabuhan termasuk menghadapi situasi rompakan dan penculikan oleh lanun,” ujarnya lagi.
Penganjuran program bertemakan "Integrasi Perkasa, Aspirasi Nusa" julung kali diadakan dengan penyertaan agensi seperti seperti Jabatan Bombadan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Latihan kendalian Malaysia Airports membabitkan luar lingkungan lapangan terbang yang dikenali sebagai senario “aircraft accident off airport” itu terbahagi kepada dua fasa.
Fasa pertama melibatkan latihan “Tabletop Exercise” bertempat di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah manakala fasa kedua pula merupakan “Full Scale Exercise” yang dilaksanakan di kawasan bersebelahan R&R Denai Alam.









